Wednesday 3 October 2018

MPKB GUNA SISTEM LETAK KERETA ELEKTRONIK WEB

KOTA BHARU - Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) akan melaksanakan Sistem Letak Kereta Elektronik-Web (SLKE-WEB) bagi menggantikan meter sedia ada di bandar Kota Bharu.

Yang Dipertuanya, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata, pelaksanaan sistem baharu ini merupakan satu transformasi terbesar bukan sahaja dalam pengurusan sistem letak kereta di Kelantan, malahan juga di Malaysia.

“Penggunaan sistem baru ini akan berkuat kuasa pada 15 Oktober ini. Ia merupakan pelaksanaan yang ketiga di Malaysia selepas Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Selain kedua-dua bandar tersebut, ia turut digunakan di bandar-bandar utama di Asia, Amerika Utara, Eropah dan Australia.

“Sistem ini merupakan pelaksanaan perisian yang paling lengkap dengan mengutamakan konsep ‘multiple payment’ sistem dengan penekanan utama terhadap kaedah ‘Cashless’.

“Melalui konsep ini, MPKB-BRI menyediakan pelbagai kaedah pembayaran untuk kemudahan pengguna. Di antaranya ialah pembayaran menggunakan aplikasi telefon pintar, kad pintar yang berasaskan kad ‘touch n go’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurutnya, selain itu, pembelian pas bulanan boleh dibuat menggunakan komputer peribadi dan aplikasi telefon pintar dan sistem ini berasaskan License Plate Recognition (LPR) di mana segala rekod dan status pengguna boleh disahkan melalui mesin pengimbas.

Beliau berkata, pengguna boleh layari laman sesawang atau mengimbas QR Code dan seterusnya membuat bayaran melalui aplikasi-aplikasi tersebut.

“Selain aplikasi telefon pintar, pengguna boleh melakukan transaksi menggunakan kad-kad pintar yang berasaskan ‘touch n go’.

“Kemudahan ini memberi banyak keselesaan kepada pengguna kerana mereka tidak perlu lagi membawa syiling yang banyak. Pelancong dari negeri-negeri lain juga tidak akan menghadapi kesukaran untuk membayar caj parking di sini,” katanya.

No comments:

Post a Comment