Monday 22 January 2018

ELAK DIRI JADI ORANG RUGI

Hakikat bahawa seluruh manusia hidup dalam kerugian adalah tidak dapat ditolak, apabila mereka tidak mencapai tujuan penciptaannya. Sememangnya, manusia adalah dijadikan oleh Allah dengan tujuan dan sebab, bukannya secara sia-sia sahaja. 

Al-Quran telah menggariskan lima tujuan kejadian manusia iaitu sebagai hamba yang beribadat kepada Allah, khalifah yang menegak hukum Allah, penanggung amanah dalam menjalankan perintah Allah, pemakmur dunia dengan agama Allah dan penerima ujian terhadap perintah, larangan dan takdir Allah.

Al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa seluruh kemuliaan manusia sebagai makhluk terbaik akan menggelungsur jatuh ke tempat yang sehina-hinanya apabila mereka tidak mentaati perintah Allah.

Allah berfirman yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah" (Surah at-Tiin: 4-5). 

Dalam Surah al- Asr ayat 1-2, Allah menjelaskan "Demi masa, sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian."

Kehidupan dan perjuangan manusia yang tidak berteraskan keimanan kepada Allah dan tidak beramal dengan Islam akan menjadi sia-sia, bahkan merugikan seluruh masa, tenaga dan harta benda yang dihabiskan sepanjang hidupnya.

Pada hari ini, begitu banyak kelompok dan kumpulan yang bergerak atas nama bangsa, ideologi dan agenda-agenda yang tidak menuju kepada keredhaan Allah, pasti perjuangan mereka berakhir dengan kerugian dan penyesalan. 

Kerana Allah sekali-kali tidak akan menerima amal yang dibangunkan selain atas nama Islam. Apabila Allah tidak mempertimbangkan seluruh amal sepanjang hidup kita di akhirat kelak, ertinya kita telah mengalami kerugian yang sangat disesalkan.

Bagaimanakah kita mengelakkan kerugian dan penyesalan ini? Hanya satu pilihan sahaja! Iaitu dengan beriman dan beramal dengan amal yang soleh.

Apabila kita telah percaya terhadap ketuhanan Allah sebagai Tuhan yang selayaknya disembah oleh makhluk-Nya, ertinya kita telah membina keimanan yang benar. Tetapi ia tidak memadai sehingga kita beramal dengan Islam.

No comments:

Post a Comment