Pusat Pengajian Pondok adalah salah satu institusi pengajian Islam yang berada di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan. Dahulunya Pusat Pengajian Pondok ini dikenali Pondok Moden dan nama atau panggilan itu masih kekal di kalangan rakyat Kelantan sebagai merujuk kepada institusi berkenaan.
Pusat Pengajian Pondok terletak di Kampung
Kandis, Daerah Telong, Jajahan Bachok. Sistem pengajian di sini, menggabungkan
pengajian kaedah ‘menadah kitab’ dan moden. Sistem pengajian yang lengkap,
menjadikan ia sebuah pusat pendidikan pondok yang hebat di negara ini.
Sejarah penubuhan Pusat Pengajian Pondok
atas usaha Kerajaan Negeri Kelantan (era pemerintahan BN) untuk mengembalikan
keutuhan ilmu agama dan menghidupkan kembali suatu sistem pengajian agama yang
telah hampir dilupai.
Maka hasil dari beberapa pertemuan, kajian
dan persetujuan, tertubuhlah sebuah Pusat Pengajian Islam yang pertama dalam
bentuk ala pondok yang bersistem dan mengikut cara baharu di Kampung Kandis yang
telah memulakan operasi pada 11 Feb. 1984 Masihi dengan nama Pondok Moden.
Cadangan penubuhan ini bermula dalam tahun
1981 setelah beberapa kajian dan perbincangan diadakan. Yayasan Islam Kelantan
telah diamanahkan untuk merealisasikan penubuhan ini.
Pada awal tahun 1982 sebanyak 15 buah
pondok kediaman pelajar didirikan dan diikuti dengan pembinaan dua buah rumah
guru pada tahun 1983.
Pada 18 Mei. 1982 Al-Sultan Kelantan
telah mengampuni perkenan meletak batu asas pembinaan masjid pondok yang diberi
nama Masjid Qudus yang siap pada penghujung tahun 1984 dan digunakan untuk
tempat belajar sementara, solat berjemaah dan solat Jumaat.
Pengajian sulung telah bermula pada 11 Feb.
1984 Masihi bersamaan dengan 9 Jamadil Awal 1404 Hijrah dengan dipimpin oleh
seorang pengetua yang digelar "Syeikh Pondok" dan dibantu oleh tiga orang
guru penolong, manakala pelajarnya pula seramai 38 orang.
Pada tahun 1985, sebuah asrama panjang
telah didirikan untuk menampung 72 orang pelajar dan meningkat kepada 104 orang
pada tahun 1986. Pada tahun 1987, satu unit bangunan yang mengandungi ruang
pejabat dan bilik perpustakaan telah siap dibina.
Pada akhir tahun 1986, seramai 25 orang
pelajar Kuliah Tahun 3 (Kumpulan Pertama) telah menduduki peperiksaan Sijil
Tinggi Ugama Pondok (STUP) dan lapan orang dari mereka telah berjaya
melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada akhir tahun 1987.
Dalam bulan Sept. 1987 nama Pondok Moden
ditukar kepada Pusat Pengajian Pondok. Pada 4 Sept 1988 sekali lagi KDYMM
Al-Sultan mengampuni perkenan merasmikan Pusat Pengajian Pondok yang telah
berkembang pesat kini.
Pada akhir tahun 1988 bilangan pelajar
telah meningkat kepada 128 orang. Seramai lapan orang pelajar Kuliah Tahun 5
(kumpulan pertama) telah mengambil peperiksaan Sijil Tertinggi Ugama Pondok
(STTUP) dengan mencapai kejayaan 100%.
Mulai tahun 1985, pelajar-pelajar menggunakan
sukatan pelajaran yang baharu yang telah digubal semula dan pada tahun 1996
menyaksikan kewujudan Kuliah Tahun Enam dan Tujuh. Beberapa mata pelajaran baru
termasuk Bahasa Inggeris telah diajar supaya selaras dengan kehendak sukatan
Universiti Al-Azhar, Mesir.
Pada akhir tahun 1996, seramai 10 orang
pelajar telah menduduki Peperiksaan Peringkat Sijil A'liah yang setaraf
Diploma. Ini merupakan pencapaian Pusat Pengaijian Pondok menuju ke arah
perkembangan Pusat Pengajian tinggi di Malaysia.
Pada 19 Mei 1997 Lembaga Pengiktirafan
Unversiti Al-Azhar, Mesir dalam persidangannya kali ke-149 pada 30 Mac 1997
telah membuat keputusan dan telah bersetuju mengiktiraf Kurikulum Pusat
Pengajian Pondok ini setaraf dengan Kurukilum Tahun 2 Dirasat Islamiah Wal-Lughah
Al-Arabiah (Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab) dan berkelayakan
menyambung pelajaran ke Tahun 3 di Fakulti tersebut.
No comments:
Post a Comment