Saturday, 7 January 2023

BULI SIBER DILAKUKAN TANPA BELAS KASIHAN

  
Buli siber yang teruk atau kronik boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan. Dalam kes tertentu, buli siber boleh menyebabkan mangsa membunuh diri. Buli siber adalah salah di sisi undang-undang.
 
Dimalukan, menjadi bahan tawa dan diejek adalah komplikasi yang lumrah hasil disebabkan sikap jijik pembuli.
 
Inilah bentuk buli siber yang jelas, sebagaimana yang digariskan dalam definisi buli siber itu sendiri. Ia adalah sebarang serangan bukan fizikal. Ia termasuk menghina, mengejek, menipu, mempersenda, menyebar berita palsu atau mengancam seseorang menggunakan medium siber.
 
Nyata dalam kes ini, buli berlaku tanpa segan silu dalam bentuk memalukan mangsa, tidak kira apa juga niat pembuli berkenaan. Sekalipun tidak ada sebarang kecederaan fizikal yang ditinggalkan dalam kes ini, apa yang nyata adalah kajian secara konsisten menunjukkan buli siber boleh memberi kesan yang lebih serius berbanding fizikal.
 
Peningkatan kes masalah mental dan bunuh diri oleh mangsa buli siber di luar negara juga dikhuatiri merebak ke Malaysia akibat fenomena yang sama.
 
Teknologi seharusnya menjadi alat pemacu pembangunan manusia dan bukannya pemusnah kepada nilai kemanusiaan. Garis panduan dan etika manusia jelas menggariskan kepentingan menjauhi sifat merendah-rendahkan orang lain.
 
Semua pihak perlu mengambil inisiatif menghentikan budaya penyebaran perkara yang tidak positif seperti ini dalam media sosial. Kemunculan komputer mudah milik dan akses mudah kepada internet membuatkan kita lebih bergantung kepadanya.
 
Hari ini, seseorang itu tidak memerlukan komputer untuk mengakses internet kerana peranti lain contohnya tablet, telefon pintar dan pencetak juga berupaya melakukannya. Ada kanak-kanak yang mula diperkenalkan kepada komputer seawal umur tiga atau empat tahun dan menjelang remaja, mereka sudah pun menjadi ‘pakar teknologi’.
 
Internet sudah menjadi perkara penting kehidupan remaja kerana ia pintu gerbang kepada banyak maklumat. Mereka boleh membuat kerja sekolah, penyelidikan dan merujuk kepada bahan berkualiti untuk tugasan.
 
Media sosial digunakan secara meluas oleh remaja (dan juga orang dewasa) sebagai cara untuk berhubung dengan kawan dan keluarga, di mana-mana dan pada bila-bila masa. Anak anda tidak mengenali dunia tanpa internet atau media sosial dan mereka tidak dapat bayangkan dunia tanpanya.
 

No comments:

Post a Comment