Wednesday, 20 July 2022

JAGUNG BIJIAN UNTUK MAKANAN HAIWAN

  
Jagung yang digunakan untuk diproses menjadi dedak ayam adalah dari jenis jagung bijian. Ia jauh berbeza dengan jagung yang kita makan iaitu dikenali jagung manis. 
 
Penggunaan jagung manis tidak sesuai untuk ternakan. Penghasilan dedak ayam di seluruh dunia hanya menggunakan jagung bijian sebagai bahan utama selain campuran bahan lain. 
 
Seperti ruminan iaitu lembu, kerbau dan kambing, ayam juga kena makan dedak jagung bijian kerana lebih sesuai dari segi kesihatan dan tumbesaran. 
 
Penanaman jagung bijian masih baharu di negara kita. Ia mula diperkenalkan pada tahun 2016 secara tanaman berskala besar di Kedah. Program itu kemudian dilaksanakan di Terengganu pada 2017 dengan matlamat agar Malaysia tidak perlu lagi mengimport jagung bijian. 
 
Malangnya projek mega itu dibatalkan apabila Pakatan Harapan berkuasa pada 2018 dengan alasan kononnya pembaziran duit rakyat tanpa difikirkan kesan jangka panjang. 
 
Pada peringkat awal usaha penanaman jagung bijiran di negara kita berdepan dengan cabaran besar dan kos yang besar. Namun, diyakini projek berkenaan boleh berkembang baik dengan bertambahnya pengalaman dan kajian berkaitan dengannya. 
 
Dijangkan tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun diperlukan untuk menstabilkan industri penanaman jagung bijian di negara kita, sehingga mampu menghasilkan sebahagian besar jagung bijian untuk penghasilan dedak ayam dengan harga lebih rendah berbanding mengimportnya dari luar negara. 
 
Masa lama diperlukan kerana bukan sahaja ingin menghasilkan input, tetapi juga hendak memastikan kualiti input itu memenuhi kehendak pasaran serta industri. 
 
Kini terdapat tujuh varieti jagung bijian ditanam di 10 ladang seluruh Malaysia ketika ini, iaitu GWG 111, GWG 888, GWG 5006, P 4546, KWS 8933, Pasific 339 dan Goldconda709. 
 
Jagung bijian adalah bahan utama dalam rumusan makanan haiwan iaitu sekitar 50 hingga 60 peratus. Secara keseluruhan, Malaysia mengimport 4.01 juta tan makanan ternakan pada 2020 bernilai RM6.15 bilion, dengan separuh daripadanya membabitkan dua juta tan jagung bijian bernilai RM1.73 bilion. 
 
Malaysia menyasar mengeluarkan 600,000 tan jagung bijirin untuk makanan ternakan dalam tempoh 10 tahun lagi, sekali gus mengurangkan 30 peratus daripada pergantungan import. 
 
Susulan usaha ini, ia dijangka berupaya mengawal harga ayam dan telur apabila penternak tempatan sering menggunakan alasan bahawa antara faktor kenaikan harga adalah disebabkan harga makanan ternakan yang melambung. 
 
Ketika ini, Malaysia mengimport hampir 100 peratus jagung bijian atau kira-kira dua juta tan setahun dari negara seperti Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS). 
 
Jabatan Pertanian mula melaksanakan penanaman jagung bijian bagi makanan haiwan melalui projek rintis sejak 2018 hingga tahun ini. Sehingga kini, kawasan seluas 280 hektar tanaman jagung bijian di Perlis, Kedah, Pahang, Perak dan Sarawak dibuka dengan pembabitan kira-kira 50 usahawan tani dan syarikat swasta. 
 
Pada tahun ini, selain meneruskan penanaman jagung bijian ini di kawasan sedia ada, jabatan itu juga membuka kawasan baharu, manakala tahun depan akan memasuki fasa pengukuhan dan menuju ke arah usaha untuk menghasilkan 30 peratus keperluan jagung bijian dalam negara.

No comments:

Post a Comment