Tuesday, 16 February 2021

Kenapa sering berlaku perubahan SOP Covid-19

 
Banyak pihak mempertikai dan marah-marah mengapa SOP berkaitan dengan Covid-19 sering berubah-ubah. Kononnya sukar untuk rakyat memahami dan mengikutinya. 
 
Kepada yang buat-buat tidak faham, atau memang tidak memahami mengapa SOP selalu berubah, sebabnya ancaman Covid-19 juga sering berubah. Kehendak dan keperluan rakyat juga macam-macam. Kerajaan prihatin terhadap keselamatan rakyat dan pada masa sama perlu memenuhi keperluan rakyat. 
 
Apabila keluar SOP terbaharu, maka dengan sendirinya SOP sebelum itu terbatal. Jadi, perlu sentiasa ikut perkembangan terkini. 
 
Sumber yang terkini dan sahih tentunya berdasarkan apa yang disampaikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada setiap sidang media harian yang diadakan. 
 
Kaedah menggunakan atau mengikut yang terkini sebenarnya bukan perkara baharu. Hukum berkaitan agama juga perlu mengikut yang kemudian dan dengan sendirinya yang terdahulu terbatal. 
 
Di dalam perbahasan ilmu usul fiqh, terdapat satu bab yang disebut sebagai al-Nasikh dan al-Mansukh. 
 
Definisi al-nasakh dari sudut bahasa ialah; mengangkat dan juga menghilangkan. Nasakh juga membawa maksud; memindahkan. 
 
Manakala nasakh dari sudut istilah bermaksud; mengangkat hukum syarak dengan dalil syarak yang datang terkemudian darinya. Dalil itu dinamakan sebagai al-Naasikh manakala hukum yang terangkat itu disebut sebagai al-Mansukh. 
 
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Aku dahulu melarang kalian dari menziarahi kubur maka sekarang ziarahilah kubur.” (Hadis riwayat Muslim) 
 
Berdasarkan hadis di atas berlaku pertukaran hukum iaitu daripada larangan menziaahi kubur kepada suruhan atau dibenarkan menziarah kubur. 
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 240) 
 
Berdasarkan ayat ini, dapatlah difahami bahawa iddah bagi wanita yang kematian suaminya adalah selama setahun penuh. Inilah hukumnya pada awal-awal Islam dahulu. 
 
Kemudian turunnya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.” (Surah al-Baqarah, ayat 234) 
 
Manakala ayat ini pula menunjukkan bahawa isteri-isteri yang kematian suami hendaklah mereka itu beriddah selama empat bulan sepuluh hari. Justeru, ayat ini menjadi nasikh ke atas hukum ayat yang pertama kerana ayat ini turun terkemudian daripada ayat tadi. 
 
Kembali kepada soal SOP, pihak kerajaan dalam menentukan SOP bukan ikut terlintas atau tiada perancangan. Ia mengikut keperluan semasa. 
 
Kita mengambil contoh mengenai hadis dan ayat di atas. Tentu sekali perubahan hukum itu ada asasnya. Allah SWT dan Rasul SAW memberi contoh kepada manusia untuk melaksanakan tugas sebagai khalifah. 
 
Kita sebagai rakyat perlu patuh kepada pemerintah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

No comments:

Post a Comment