Jangan
lihat apa yang telah kamu usahakan, tapi lihatlah apa yang belum kamu
selesaikan!! Ya... yang telah dilakukan adalah sejarah. Apa yang penting adalah
masa hadapan. Kita perlu terus melangkah semakin ke hadapan dan lebih baik.
Usaha
untuk berubah kepada kebaikan memerlukan pengorbanan dan bukan sekadar
angan-angan. Sekiranya ingin berubah tidak perlu menanti masa tua. Individu
yang benar-benar ikhlas untuk berubah tidak menangguhkan masa.
Tambahan,
usia kita semakin menunju penghujung, tidak tahu berapa lama lagi peluang untuk
terus menyedut udara nyaman di dunia ini. Berhati-hatilah, kita tidak
mengetahui berapakah lagi usia yang berbaki.
Sesungguhnya
nafsu tidak mengenal usia. Kekuatan nafsu tidak berkurang dengan bertambahnya
usia seperti berkurangnya tenaga, daya penglihatan dan daya pendengaran. Nafsu
masih ingin kepada keduniaan biarpun ketika hampir menemui maut.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Anak Adam boleh tua, tetapi akan tetap tinggal
bersamanya dua perkara iaitu kemahuan keras (nafsu) dan panjang angan-angan.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Untuk
mendidik nafsu perlu dilakukan secara berterusan. Rasulullah menjelaskan
dorongan nafsu adalah sebahagian daripada penyakit yang menyebabkan banyak
berlaku kerosakan dan penderhakaan.
Penyakit
nafsu tidak dapat disembuhkan melainkan melalui peningkat keimanan dan
ketakwaan. Ini perlu dilakukan dengan asuhan iman yang dilakukan secara
berterusan bermula sejak usia kanak-kanak, disuburkan ketika alam remaja dan
diteruskan ketika meniti alam kedewasaan.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya umatku akan ditimpa oleh penyakit umat-umat
dahulu; sombong, suka bermegah-megah, mengumpulkan kekayaan (dengan cara yang
tidak sah), berlumba-lumba merebut kemewahan dunia, pulau memulau, saling
berdengki hingga mengakibatkan berlakunya penderhakaan dan keadaan kacau
bilau.” (Hadis riwayat Hakim).
Bagi
memastikan kehidupan sentiasa dalam keredaan Allah, diri perlulah sentiasa
dikuasai oleh akal dan bukannya nafsu. Akal akan menyuruh manusia melakukan
kebaikan dan menolak daripada melakukan kejahatan.
Dengan
kekuatan akal yang dikuasai perasaan keimanan akan sentiasa menetapkan tujuan
hidupnya untuk menemui Allah dengan keadaan yang sempurna amalan kehidupan di
dunia ini. Atas matlamat itu kehidupan yang dilalui penuh bermakna dan tidak
tergelincir daripada landasan keimanan.
Berubah
meninggalkan kepalsuan dan dosa adalah sebenar-benar tanda keimanan. Hakikatnya
tiada untungnya bagi sesiapa yang merebut dunia dan meninggalkan akhirat kerana
akhirnya tetap akan merasakan kerugian yang tidak dapat ditebus lagi apabila
diri sudah berada pada hari pembalasan.
Renungkan
Firman-Nya yang bermaksud: “Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia
sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini
(dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanya sedikit.” (Surah at-Taubah,
ayat 38).
Sesiapa
juga hidup di dunia ini tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sebab
itu Allah membenarkan taubat sebagai pembersih diri. Jika diri tersalah memilih
jalan dosa, bersegeralah berubah memilih jalan yang sebenarnya.
Mari
kita sama-sama berubah ke arah kebaikan. Tidak kiralah berapa banyak perubahan
itu dicapai, asalkan perkara itu dilakukan secara berterusan. Islam
menganjurkan agar mengamalkan sikap istiqamah dalam melakukan sesuatu
kebaikan.
No comments:
Post a Comment