Ayat itu dapat difahami perkara
baik yang sudah diterima dan diamalkan dalam sesuatu masyarakat hendaklah
diteruskan, sesuai dengan matlamat Islam yang ingin kepada kebaikan. Islam itu
mudah dan memberikan kemudahan kepada penganutnya.
Turut dijadikan hujah berdasarkan
hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apa-apa yang didapati dan yang
dilihat oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang baik, maka ia juga baik di
sisi Allah."
Pun begitu, mengikut tafsir hadis
tersebut, ulama menjelaskan bukan mutlak kepada semua adat. Sesuatu adat
berdasarkan kepada hawa nafsu semata-mata hendaklah ditolak. Banyak adat
berasaskan kepada hawa nafsu seperti perempuan mendedahkan aurt tidak boleh
diterima sebagai adat yang boleh dijadikan asas mengharuskan perbuatan itu.
Mendedahkan aurat satu perkara ditegah.
Walaupun adat diterima sebagai
rujukan hukum, ia tidak berasingan dengan sumber hukum asal. Semua hukum
bersumberkan daripada Allah SWT. Penerimaan adat sebagai sumber hukum dianggap
satu rahmat daripada Allah SWT, yang menjadikan adat itu selari dengan hukum
asal. Dengan kata lain, penerimaan adat itu sendiri bersandarkan kepada kaedah
hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Untuk menjadikan adat sebagai
sumber hukum, beberapa syarat perlu dipatuhi:-
Adat itu tidak berlawanan dengan
nas syarak. Contohnya, adat membuat
urusniaga di atas talian. Adat ini telah berkembang selari dengan kewujudan
internet. Pembeli dan penjual tidak bersua muka ketika melakukan urusniaga.
Tidak dinafikan kaedah ini asal bertentangan nas syarak, yakni tidak dibolehkan
membeli sesuatu yang tidak wujud di hadapan mata, tetapi ulama menerimanya atas
kaedah maslahat dan telah dijadikan amalan biasa dalam masyarakat, dan ia tidak
berlawanan dengan semua aspek hukum.
Sebaliknya jika adat itu nyata
berlawanan dengan nas syarak, maka adat itu mesti ditolak. Contohnya,
perniagaan berasaskan kepada riba yang jelas terdapat ayat al-Quran dan hadis
mengharamkannya. Firman Allah SWT bermaksud: "Allah menghalkan jualbeli
dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah, ayat 275).
Amalan riba menjadi kebiasaan dalam
sistem pembankan konvensional. Namun, kini umat Islam ada altenatif menggunakan
pembankan Islam yang bebas unsur riba.
Adat yang diterima harus itu
hendaklah telah diamalkan oleh individu dalam masyarakat secara menyeluruh dan
meluas. Bahkan, jika ada yang tidak mengamalkannya, jumlahnya amat sedikit.
Contoh amalan ini ialah adat
menunaikan solat Tarawaih yang diadakan secara berjamaah. Sedangkan pada
hakikatnya, solat Tarawaih tidak semestinya diadakan secara berjamaah. Bahkan
sebenarnya, elok ditunaikan di rumah secara berseorangan atau bersama ahli
keluarga.
Di Malaysia, apabila disebut
sembahyang Tarawih, terus tergambar ia dilakukan secara berjamaah di masjid.
Sesiapa tidak melakukannya dianggap tidak bertarawih, biarpun sebenarnya ia
melakukannya di rumah. Begitulah gambaran besarnya pengaruh adat dalam
masyarakat.
Adat dalam satu-satu tindakan itu
sudah wujud ketika hendak dilakukan tindakan itu. Maksudnya, kejadian adat itu
berlaku sebelum sesuatu tindakan dilakukan dan ketika tindakan itu dan ia
berterusan sehingga masa berlakunya tindakan itu. Ini bermaksud, tidak harus
diamalkan adat yang baru timbul. Adat
mendahului nas syarak sahaja yang dikira sah.
Contohnya, mewakafkan harta kepada
anak yatim. Perlu difahami istilah anak yatim adalah anak yang ketiadaan ibu
bapa atau salah seorang daripadanya.
Tetapi, sekarang rumah anak yatim turut menempatkan anak golongan miskin
biarpun kedua ibu bapa masih hidup.
Maka dalam kes ini, jika wakaf
diberikan dinyatakan khusus kegunaan anak yatim, maka mesti dipastikan ketika
wakaf itu dilakukan, siapakah dimaksudkan anak yatim. Maka, mereka yang
dimaksudkan anak yatim pada masa lalu saja berhak mendapat manfaat wakaf itu.
Tidak ada perkataan atau perbuatan
atau kedua-duanya secara terang bertentangan dengan adat. Sesungguhnya, tidak
harus berpegang kepada adat apabila kedua-dua pihak berakad setuju mengetepikan
adat biasa diamalkan. Keperluan merujuk
kepada adat hanya apabila kedua-dua pihak diam.
Sebaliknya, jika pihak terlibat
memperjelaskan apa ingin dilakukan berkaitannya, maka adat mesti diketepikan.
Hal ini bertepatan dengan kaedah
fiqliyyah yang menyebut: "setiap hukum yang sabit berdasarkan adat apabila
dua orang terlibat berterus terang menolaknya dan bersetuju dengan syarat yang
selari dengan maksud perbuatan itu, maka sah akad dan syarat itu.
Contohnya, hantaran berupa
peralatan peribadi pengantin perempuan berupa perhiasan, pakaian dan makanan
biasanya tidak termasuk dalam kiraan mas kahwin seperti diamalkan masyarakat
Melayu. Namun ia kan menjadi sebahagian mas kahwin jika kedua-dua pihak
bersetuju atas perkara itu.
No comments:
Post a Comment