Thursday 27 June 2024

PERTANDINGAN WAU DI KELANTAN 1951

 
Permainan wau atau layang-layang memang terkenal di Kelantan sejak dahulu lagi. Tradisi tersebut diteruskan pada masa sekarang, biarpun tidak sehebat dahulu.
 
Majalah LIFE terbitan di Amerika Syarikat pada bulan Oktober 1951 pernah menerbitkan gambar-gambar pertandingan wau yang diadakan di Pantai Cahaya Bulan (PCB). Ketika itu
PCB dikenali dengan nama Pantai Cinta Berahi.
 
Gambar yang dirakamkan Howard Sochurek, jurufoto Life disiarkan pada Oktober 1951 dengan tajuk Beach Of Passionate Love (Pantai Cinta Berahi).
 
Gambar yang dirakamkan itu menunjukkan suasana sambutan “Tanding Wau” yang berlangsung di PCB. Kemeriahan amat jelas kelihatan. Banyak penduduk yang hadir untuk menyaksikan pesta tersebut.
 
Melihatkan kepada banyaknya yang hadir, biarpun pada ketika itu penduduk setempat tidak ramai dan pengangkutan agak terhad, jelas menunjukkan bahawa pesta itu satu acara yang turut mendapat sambutan hangat penduduk dari kawasan luar PCB. Mereka sanggup berjalan kaki dari tempat yang jauh semata-mata untuk menyaksikan pertandingan tersebut.
 
PCB antara pantai peranginan terawal di Kelantan juga dikenali dengan nama Paitai Semut Api di kalangan penduduk tempatan kerana ia terletak di Kampung Semut Api.
 
Catatan - Life adalah majalah diterbitkan di Amerika Syarikat setiap minggu dari tahun 1883 hingga 1972, sebagai "istimewa" secara tidak berkala sehingga tahun 1978, kemudian sebulan sekali dari tahun 1978 hingga 2000, dan kemudian secara dalam talian sejak tahun 2008.
 



No comments:

Post a Comment