Sunday 20 August 2023

JAMBATAN TOK BALI ASALNYA DIBINA DI ATAS DARAT

 
Sebelum tahun 1990-an, nama Tok Bali tidak dikenali seperti sekarang. Boleh dikatakan tiada orang Kelantan yang tahu atau kenal di mana letakkan Tok Bali, melainkan penduduk yang tinggal berhampiran.
 
Namun, nama Tok Bali menjadi terkenal setelah kawasan tersebut dibangunkan sebagai lokasi pembangunan berstrategik, berfokus dan teratur. Terletak 16 kilometer dari bandar Pasir Puteh, Tok Bali menjadi permata pembangunan Kelantan.
 
Perubahan sinar pembangunan bermula dengan pembinaan sebuah jambatan melengkung sepanjang kira-kira 300 meter yang kini dikenali Jambatan Tok Bali. Uniknya, jambatan tersebut di atas darat. Sungai atau terusan yang ada sekarang dibina setelah jambatan tersebut siap sepenuhnya.
 
Jambatan Tok Bali mula digunakan sejak tahun 1996, menjadi penghubung laluan pantai dari Kota Bharu sehingga ke Kuala Terengganu.
 
Terusan Semerak digali sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan kawasan Kemasin Semerak melibatkan dua jajahan (daerah) Bachok dan Pasir Putih.
 
Rancangan itu dikenali Projek Kemasin Semerak (Perkasa). Manakala kawasan yang diliputi dalam rancangan itu pula dikenali Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak (IADA). IADA merupakan badan yang bertanggungjawab menyelia aktiviti pembangunan di kawasan berkenaan.
 
Apabila siap Terusan Semerak ia berperanan mengalirkan air dari kawasan bandar Pasir Puteh dan kawasan sekitarnya. Kawasan yang asalnya air bertakung dan sering dilanda banjir mula dibangunkan sebagai kawasan penempatan penduduk dan dibina pelbagai kemudahan asas serta beberapa agensi kerajaan beroperasi di situ.
 
Hasil wujudnya jalan raya dan kemudahan asas lain, Tok Bali terus berkembang maju, termasuklah dalam industri pelancongan. Banyak resort dan rumah tumpangan dibina di kawasan tersebut selari dengan permintaan aktiviti pelancongan yang berkembang pesat.
 
Terusan Semerak merupakan nadi utama kepada pembangunan bandar perikanan di Tok Bali dan memberi kemudahan kepada lebih 300 bot nelayan laut dalam dan nelayan tradisional mendaratkan hasil tangkapan di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.
 
Selain jeti LKIM, di Terusan Semerak menjadi pangkalan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Kelantan, serta beberapa agensi lain serta pihak swasta yang memanfaatkan kegunaan terusan sepanjang kira-kira 7.5 kilometer itu.
 
Pembinaan Terusan ini menjadi pemangkin utama pembangunan di Tok Bali, di mana wujudnya pengangkutan melalui laut ke Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Redang di Laut China Selatan.
 
Demikian juga dengan kewujudan jeti pendaratan ikan laut dalam sehingga kepada pertumbuhan industri pelancongan dan produk berasaskan hasil laut seperti keropok, bebola ikan dan sebagainya. Turut berkembang di situ ialah industri halal berasaskan hasil laut.

 



No comments:

Post a Comment