Firman
Allah dalam surah al-Qashash ayat 77 bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di
akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu lupa
akan habuan kamu di dunia ini.”
Ayat
tersebut jelas memberi peringatan dan dorongan kepada seluruh manusia agar
mencari kebahagiaan hidup di dunia, biarpun matlamat hidup ialah untuk mendapat
kebahagiaan hidup di akhirat.
Habuan
di dunia ialah kekayaan, pangkat, ilmu, keluarga bahagia, penghormatan dan
kesihatan yang baik.
Sesungguhnya
Islam tidak sekali-kali memisahkan antara kehidupan dunia dengan kehidupan di
akhirat. Oleh itu, setiap apa yang dilakukan biarpun dalam konteks untuk
mencari kebahagiaan hidup di dunia, tetapi ia juga adalah sebahagian daripada
usaha mencari kebahagiaan hidup di akhirat.
Rasulullah
menjelaskan sesiapa yang berusaha mencari kebahagian hidup akan dibangkitkan di
akhirat dengan wajah berseri-seri. Ini satu bukti apa yang dilakukan itu
mendapat balasan kebaikan di akhirat dengan wajah ceria, berkeadaan baik dan
mendapat keampunan.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya
supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya,
serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui
Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” (Hadis riwayat
Thabrani).
Mencari
kekayaan merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyempurnakan rukun Islam.
Seperti kita semua sedia maklum, terdapat dua Rukun Islam yang memerlukan harta
untuk menunaikannya iaitu zakat dan haji.
Ini
bermakna sesiapa yang ingin menyempurnakan kelima-lima Rukun Islam mesti berusaha
mencukupkan keperluan hidup dari segi harta. Maka tidak benar jika dikatakan
harta kekayaan tidak diperlukan dalam melaksanakan ibadat.
Sesungguhnya,
setiap orang berhak mencari kekayaan dan kebahagiaan hidup kerana ia merupakan
anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Firman Allah bermaksud: “Dia yang
menjadikan untuk kamu segala yang ada di dunia.” (Surah al-Baqarah, ayat 29).
Dalam
surah yang sama firman-Nya bermaksud: “Tidak ada dosa atas kamu untuk mencari
rezeki daripada Tuhanmu.” (Surah al-Baqarah, ayat 198).
Sesungguhnya
dunia ini dicipta untuk dimakmurkan oleh manusia. Allah memberi sepenuh
kebebasan untuk manusia melakukan usaha untuk mendapatkan apa yang dihajati,
asalkan tidak melampaui batas-batas yang ditetapkan.
Firman
Allah bermaksud: “Barang siapa yang inginkan ganjaran di dunia, Kami akan
berikan dunia itu kepadanya. Barang
siapa mengharapkan ganjaran akhirat, Kami beri pula pahala akhirat itu
kepadanya. Dan Kami akan beri ganjaran kepada mereka yang tahu berterima kasih.”
(Surah Ali-Imran, ayat 145).
No comments:
Post a Comment