Sunday, 20 April 2025

SEJARAH LANDASAN KERETA API MAUT

 
Mengikut catatan sejarah, selepas Jepun berjaya menakluk Tanah Melayu dan Singapura Februari 1942, negara matahari terbit itu mula merencanakan pembinaan landasan kereta api sejauh 415 kilometer yang merangkumi 60 stesen dari Thailand ke Burma bagi meluaskan penaklukan rantau itu sehingga ke India.

Untuk membina landasan yang melalui hutan dan kawasan berbahaya, ditambah pula pada ketika itu tiada peralatan moden, dan perlu disiapkan dalam tempoh masa yang singkat, banyak tenaga buruh digunakan.
 
Untuk memenuhi keperluan sumber tenaga, seramai 68,000 tahanan perang British, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand dan Belanda manakala 200,000 lagi buruh paksa India, China dan Melayu terlibat dalam pembinaan landasan kereta api itu.
 
Sepanjang tempoh tiga tahun pembinaannya, seramai 16,000 tawanan perang maut dan lebih 100,000 buruh dari Asia itu dilaporkan meninggal dunia atau hilang. Sebab itu, ia dikenali Landasan Kereta Api Maut. .
 
Sepanjang tempoh 1942 hingga 1946, sebanyak 72,000 rakyat negara ini menjadi buruh paksa, namun hanya kira-kira 30,000 orang sahaja selamat pulang.
 
Kebanyakan tahanan yang meninggal dunia disebabkan berbagai penyakit antara lain seperti taun dan malaria. Punca kematian lain ialah keletihan dan kecederaan yang tidak mendapat rawatan sepatutnya.
 
Buruh yang sakit dan tidak dapat bekerja dikenakan hukuman tidak diberi makan. Kalau tidak makan, sudah pasti penyakit semakin teruk sehinggalah membawa maut. Kalau mereka melakukan kesalahan kecil sekalipun, hukuman fizikal yang dikenakan amat teruk boleh menyebabkan kecederaan fizikal, dan akibat itu akan dihukum tidak diberikan makan pula.
 
Buruh paksa yang bukan daripada tahanan perang sebenarnya terpedaya dengan janji Jepun. Pihak Jepun masuk ke kampung-kampung dan mempromosikan peluang pekerjaan yang dengan upah lumayan dan kehidupan lebih baik di Thailand. Namaun, segala janji itu hanya bohong apabila mereka dijadikan buruh paksa dan menempuh perjalanan hidup ngeri sehingga ada membwa maut.
 
Diceritakan dalam sehari lebih terdapat hampir 30 orang yang terkorban dan yang kejamnya lagi mayat mereka dikuburkan dalam satu lubang yang besar berhampiran dengan landasan itu juga.
 
Tekanan dari pihak Tokyo memaksa tentera-tentera Jepun memaksa ribuan buruh untuk mempercepatkan kerja-kerja pembinaan landasan. Tenaga manusia dikerah tidak henti-henti
 
Alatan yang digunakan untuk menggali tanah dan batu pada kedalaman 20 meter dengan hanya peralatan yang terhad. Mereka menggunakan tukul seberat 8 paun, batang paip keluli, bahan letupan dan penyodok. Sebahagian besar bahan buangan telah dikeluarkan oleh tangan yang menggunakan bakul rotan dan guni beras yang digantung antara dua tiang.
 
Selain tenaga manusia, khidmat gajah juga digunakan. Tenaga gajah yang dikendalikan penjinak gajah atau mahout banyak membantu meringankan beban tugas buruh paksa, terutama untuk menarik batang balak yang berat atau mengalihkan bongkah batu yang besar.
 
Salah satu laluan kereta api yang bahaya dan proses pembinaan yang sukar adalah kawasan melalui Sungai Khwae. Landasan dibina dekat tebing curam. jambatan berkonsep kekuda kayu terpaksa dilekatkan terus ke muka batu tebing. Pembinaannya memerlukan bukan sahaja usaha fizikal yang besar, tetapi juga kepintaran yang luar biasa.
 
Tanpa akses jalan raya dan bahan yang perlu dibawa masuk dengan tangan, tongkang, atau gajah, para pekerja mula-mula meletupkan tebing ke tebing batu kapur untuk mewujudkan tapak trek yang sempit.
 
Selepas perang tamat pada tahun 1945, landasan tersebut menjadi hutan belantara dan dititinggalkan begitu sahaja. Namun pada hari ini kerajaan Burma telah mengambil inisiatif untuk memelihara aset sejarah ini dan dijadikan tempat pelancongan.
 
Begitu juga di sebelah Thailand, ada landasan dan jambatan yang masih beroperasi. Kanchanaburi merupakan salah satu stesen yang dibina pada era buruh paksa yang masih beroperasi dan menjadi destinasi pelancongan.
 
 

No comments:

Post a Comment