Saturday 10 October 2020

KERJA GIGIH, IKHLAS, DAPAT REZEKI HALAL

 
Perlaksanaan tugas dengan sempurna sepertimana ditetapkan perlu diusahakan bagi memastikan pendapatan yang diterima benar-benar bersih dan halal.  
 
Jika seseorang pekerja tidak melaksanakan tugas dengan sempurna atau curi tulang, bermakna sebahagian daripada hasil gajinya tidak halal baginya.  
 
Sesiapa memakan makanan daripada sumber wang haram, maka tidak akan diterima amalan kebaikan dilakukan olehnya dan di akhirat nanti ditempatkan ke dalam neraka.  
 
Sabda Rasulullah bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka nerakalah tempat yang layak baginya.” - (Hadis riwayat Tarmizi). 
 
Untuk mengembalikan keberkatan hasil pendapatan, maka hendaklah setiap pekerja melakukan tugas seperti mana diamanahkan kepadanya.  Sesiapa yang melakukan perkara yang benar seperti digariskan oleh Islam, pekerjaan itu dinilai sebagai satu ibadat.  
 
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan pernama.” (Hadis riwayat Thabrani). 
 
Sekarang terdapat pekerja yang bukan sahaja gagal melaksanakan tugas tetapi turut melakukan kesalahan menerima rasuah atau pecah amanah.  Rasuah ialah perbuatan sogokan dengan wang atau apa-apa hadiah atau manfaat sebagai ganjaran balas terhadap sesuatu hajat atau kemahuan yang telah, sedang atau akan ditunaikan dengan cara yang tidak sebenarnya. 
 
Pemberi rasuah mengharapkan agar kehendaknya ditunaikan secara ‘istimewa’ seperti diberi keutamaan, dipercepatkan, diluluskan atau lepaskan daripada dikenakan tindakan, sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku. Manakala, penerima rasuah mendapat sesuatu balasan yang sepatutnya bukan haknya.  
 
Sebagai Muslim adalah tidak wajar meletakkan matlamat setiap pekerjaan yang dilakukan semata-mata untuk keuntungan kebendaan. 
 
Banyak jabatan penguatkuasa undang-undang gagal berfungsi disebabkan ramai kakitangan yang menerima rasuah. Amalan rasuah di kalangan sesetengah pekerja menyebabkan sistem tugas ditetapkan menjadi kucar kacir seterusnya menggagalkan usaha pekerja lain yang benar-benar bekerja dengan jujur. 
 
Seorang yang mengamalkan perbuatan rasuah sanggup melakukan apa sahaja asalkan mendapat wang, pangkat dan kemewahan, termasuk melakukan perbuatan membahayakan keselamatan negara. 
 
Gejala rasuah berlaku disebabkan manusia tidak pernah mencapai tahap kepuasan sepenuhnya, kecuali mereka yang beriman dan bersyukur dengan nikmat hidup yang dikurniakan Allah.  
 
Keburukan akibat rasuah kepada masyarakat dan negara amat dahsyat. Sebab itu semua agama dan masyarakat meletakkan amalan tersebut sebagai amat keji dan perlu dijauhi sepenuhnya.  
 
Dalam sejarah tamadun manusia, banyak kerajaan atau kuasa besar menjadi lemah dan seterusnya jatuh kepada kuasa lebih yang lemah disebabkan berleluasanya amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pemerintahan dan pentadbiran. 
 
Setiap pekerja mesti menunjukkan sikap dan tindakan profesional demi kepuasan pelanggan. 
 
Pekerja yang baik sentiasa menjalankan tugas tanpa mengharapkan ganjaran tambahan, melainkan apa yang telah ditetapkan kepadanya. Dia bersyukur dapat berkerja, sedangkan masih ramai yang tidak berpeluang bekerja.  
 
Sekiranya dia impikan pendapatan yang lebih, dia melakukan dengan cara yang betul, berusaha lebih gigih agar gaji atau pangkatnya dinaikkan.

No comments:

Post a Comment