Thursday 15 October 2020

JAGA MATA TELINGA MULUT ELAK MAKSIAT

Setiap anggota akan menjadi saksi di akhirat kepada apa yang dilakukan di dunia. Tiga pancaindera terpenting yang perlu dijaga agar tidak melakukan dosa ialah mulut, mata dan telinga. 
 
Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan." (Surah al-Isra', ayat 36) 
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada apa yang tidak halal melihatnya) dan memelihara kehormatan (daripada apa saja yang tidak halal melakukannya)." (Surah an-Nur, ayat 30) 
 
Dapat difahami menerusi ayat berkenaan bahawa Allah SWT memerintahkan setiap hamba-Nya yang beriman supaya menjaga mata daripada melihat yang haram dan menjaga kemaluan daripada melakukan sesuatu yang haram. 
 
Oleh itu, menjadi kewajipan kepada setiap hamba mentaati perintah Allah SWT untuk menyelamatkan diri daripada kemurkaan dan azab seksa kelak. 
 
Daripada Saidina Huzaifah Yamani berkata, Rasulullah SAW bersabda dengan maksud: "Sesungguhnya melihat kepada tempat yang elok yang ada pada tubuh perempuan adalah seperti anak panah beracun daripada anak panah iblis (kerana sangat cepat ia membinasakan), terselamatlah sesiapa yang meninggalkannya (kerana takut Allah)". (Ihya Ulumuddin) 
 
Satu lagi pancaindera penting ialah telinga. Sesungguhnya Allah SWT mencipta deria pendengaran menerusi telinga untuk manusia tidak lain dan tidak bukan untuk menambah nikmat kepada hambaNya. Bayangkan banyak kekurangan dialami mereka yang tuli atau pekak. 
 
Justeru, kita perlu sentiasa mensyukuri nikmat telinga termasuk memelihara pendengaran daripada mendengar kata nista atau umpatan yang boleh merosakkan hati seseorang. 
 
Memelihara telinga daripada mendengar sesuatu yang dilarang seperti mengumpat, mengadu domba, mendengar perkataan yang tidak baik, berkelahi, mendengar suara perempun dan orang muda yang boleh menimbulkan fitnah dan bermacam-macam lagi. 
 
Satu lagi nikmat pancaindera yang penting ialah mulut dan lidah yang membolehkan kita bercakap. 
 
Dalam menyatakan kepentingan menjaga lidah ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Hendaklah kamu bercakap benar (jujur) kerana sesungguhnya bercakap benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang itu sentiasa bercakap benar dan berusaha untuk selalu jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah sifat dusta kerana sesungguhnya dusta itu membawa kepada keburukan dan keburukan itu membawa kepada neraka. Seseorang itu sentiasa berdusta dan berusaha untuk selalu berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (Hadis Riwayat Muslim) 
 
Jadilah hamba yang bersyukur dengan menjaga setiap nikmat pancaindera yang dikurniakan kepada kita.

No comments:

Post a Comment