Saturday 19 September 2020

MUSIBAH SEBAGAI KIFARAH BERI PERINGATAN

 
Setiap bala atau kejadian yang tidak diingini berlaku kepada manusia adalah kifarah atau balasan kepada dosa yang dilakukan.  
 
Nabi SAW bersabda, "Tidaklah menimpa seseorang Muslim sama ada letih, sakit, kerisauan, kesedihan, kesusahan atau kebimbangan bahkan tusukan duri sekali pun melainkan Allah SWT akan menjadikan semua itu sebagai kifarah kepada dosa-dosanya." (Hadis riwayat Bukhari) 
 
Justeru, setiap kali berlaku perkara tidak disukai, cepat-cepat muhasabah diri mencari kesilapan diri yang telah dilakukan sama ada dengan sengaja mahupun tidak sengaja. Kemudian hendaklah kita beristigfar memohon keampunan dari Allah SWT. 
 
Kecelakaan yang berlaku itu adalah satu peringatan agar manusia sedar kesilapan yang dilakukan dan kemudiannya dapat memperbaiki atau berubah daripada berterusan melakukan kesilapan. 
 
Sebenarnya, apa sahaja musibah, kesusahan atau sakit yang dihadapi dengan sabar, reda dan bertawakal, mempunyai ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah. Ia bukan sahaja semata-mata balasan menghapuskan dosa. 
 
Saiyidatina Aisyah RA berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Mana-mana orang Islam yang terkena tusukan duri malah kesusahan yang lebih kecil daripada itu pun akan diberi ganjaran satu darjat dengan sebab kesusahan itu dan satu dosa akan dimaafkan." (Hadis Riwayat Muslim) 
 
Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bala berterusan akan menimpa orang Mukmin lelaki dan perempuan sama ada pada dirinya sendiri, anaknya atau hartanya (yang menyebabkan dosa-dosanya sentiasa gugur) sehingga dia bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan dia tidak mempunyai apa-apa dosa." (Hadis riwayat Tirmizi) 
 
Sebab itu kita perlu sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT. Apa sahaja yang berlaku ada sebab dan kebaikannya. Terimalah ketentuan Allah dengan reda dan penuh keinsafan bahawa ada hikmah di sebaliknya. 
 
Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah SWT menguji seseorang hamba yang Islam dengan apa-apa penyakit jasmani maka Allah SWT akan memerintahkan seorang malaikat. Teruskanlah menulis ganjaran amalan yang biasa hamba ini amalkan (semasa dia sihat). Sekiranya Allah SWT menyembuhkannya, maka Allah SWT akan membersihkan dan menyucikannya (daripada dosa-dosanya) dan sekiranya Allah SWT mengambil nyawanya, maka Allah SWT akan mengampuni dan merahmatinya." (Hadis riwayat Ahmad) 
 
Satu lagi hadis bermaksud: "Allah SWT berfirman: Apabila Aku timpakan ujian (dengan musibah, sakit dan lain-lain kesusahan) ke atas salah seorang daripada hamba-hamba-Ku yang beriman dan dia memuji Daku (kerana reda) maka (Aku akan memerintahkan para malaikat) Tulislah segala ganjaran amalannya yang baik sebagaimana yang biasa kamu tulis semasa dia sihat." (Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani) 
 
Kebaikan akibat berlaku musibah iaitu penghapuskan dosa dan balasan pahala hanya diperoleh jika kita menerima apa yang berlaku dengan reda dan pada masa sama memohon keampunan dari Allah SWT sebagai tanda takwa dan beriman kepada Allah. 
 
Begitu mulianya seseorang yang beriman, sehingga apa sahaja yang berkaitan dengan diri mereka akan bernilai di sisi Allah. 
 
Satu tusukan duri sahaja pun, cukup untuk menyebabkan keampunan Allah dicurahkan kepadanya. 
 
Malah, apa sahaja kesedihan atau kebimbangan yang hati mereka alami, sudah mampu menarik perhatian Allah lalu dikurniakan segala macam rahmat, maghfirah dan ganjaran dari sisi Allah. 
 
Sebaliknya, orang tidak beriman dan sering menyalahkan kepada takdir, maka dia beroleh musibah di dunia dan balasan buruk di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment