Monday 5 March 2018

JAGA DIRI JANGAN SAMPAI TERGELINCIR

Numan bin Tsabit atau yang biasa kita kenal dengan Imam Abu Hanifah berjalan bertentangan arah dengan seorang budak kecil yang berjalan mengenakan terompah kayu.

Si imam berkata: "Jaga-jaga Nak dengan terompah kayumu itu, jangan sampai kamu tergelincir."

Budak ini pun tersenyum dan mengucapkan terima kasih atas perhatian Abu Hanifah.

"Bolehkah saya tahu namamu, Tuan?" tanya si budak kecil itu tadi.

"Numan namaku", jawab si imam.

"Oooo.. jadi, tuankah yang selama ini terkenal dengan gelaran Al-Imam Al-Azhom (Imam agung) itu..?", tanya si budak.

"Bukan aku yang memberi gelaran itu. Masyarakatlah yang berprasangka baik dan memberi gelaran itu kepadaku", jawab si Imam.

"Wahai si Imam, berhati-hatilah dengan gelaranmu. Jangan sampai tuan tergelincir ke neraka kerana gelaran itu. Terompah kayuku ini mungkin hanya menggelincirkanku di dunia. Tetapi gelaranmu itu dapat menjerumuskan kamu ke dalam api yang kekal jika kesombongan dan keangkuhan menyertainya…”

Ulama besar yang diikuti banyak umat Islam itupun tersungkur menangis menerima nasihat 'tajam' daripada seorang budak kecil.

Imam Abu Hanifah bersyukur. Siapa sangka, peringatan yang begitu dalam maknanya, justeru ia datang dari lidah seorang budak.

Betapa banyak manusia yang tertipu kerana pangkat, tertipu kerana kedudukan, tertipu kerana gelaran, tertipu kerana status sosial dan sebagainya yang bernilai di dunia ini.

Jangan sampai kita menjadi angkuh dan sombong kerana gelaran, pangkat, status sosial dan kebesaran di dunia.

Ketahuilah, sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat biji sawi." (Hadis riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment