Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai pengendali
perkhidmatan kereta api terbesar di Malaysia memberi keutamaan dalam aspek
keselamatan melibatkan penumpang, aset dan mereka yang berkaitan.
Namun, kecelakaan tetap berlaku disebabkan kecuaian,
teknikal dan tidak patuh kepada undang-undang. Sebagai contohnya, sering kali
berlaku kemalangan sehingga meragut nyawa apabila ada individu yang menceroboh
kawasan landasan kereta api sama ada untuk melintas dan sebagainya.
Perbuatan tersebut adalah satu kesalahan di sisi
undang-undang, kerana landasan kereta api adalah kawasan larangan dan individu
yang menceroboh landasan kereta api boleh dikenakan denda sebanyak RM500
mengikut Seksyen 126, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Selain itu, kejadian kereta api tergelincir dari landasan
berlaku disebabkan beberapa masalah.
Kalau kapal terbang yang berada di langit luas boleh berlaku
pertembungan atau perlanggaran, begitu juga tidak terkecuali dengan kereta api.
Contohnya, pada 4 Sep 2020, sebuah kereta api elektrik (ETS)
dan komuter tiga gerabak bergesel berhampiran Stesen Kuang. Seorang penumpang
komuter cedera manakala 29 penumpang Komuter dan 93 penumpang ETS tidak
mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.
Tren komuter itu sedang dalam perjalanan dari Stesen Tanjung
Malim ke Stesen Sungai Buloh sebelum bergesel dengan ETS dari Stesen Padang
Besar yang menuju ke Stesen KL Sentral pada 6.37 petang.
Secara keseluruhan, sistem keselamatan diamalkan KTMB adalah
pada tahap terbaik dan boleh dibanggakan KTMB sendiri, bahkan rakyat Malaysia
keseluruhannya. Jom naik kereta api. Jadikan kereta api sebagai pengangkutan
awam utama negara.