Saturday, 23 November 2024

AYAM BELANDA MENDAPAT SAMBUTAN MUSIM PERAYAAN

 
Ayam belanda merupakan sejenis ayam dari keluarga burung yang diberi nama saintifik sebagai Meleagris gallopavo (Wild turkeys) iaitu dari keluarga Phasianidae. Ayam belanda ini ada dua spesis dan dipercayai natif dari benua Amerika Utara (M. gallopavo) dan spesis M. ocellata berasal dari kawasan Amerika Tengah.
 
Ayam belanda agak asing di negara kita. Ayam yang berukuran besar ini jarang dipelihara di negara kita. Ukuran yang besar dan agak bengis menyebab binatang yang suka menegakkan bulu seperti burung merak ini tidak banyak dipelihara.  
 
Bagaimanapun, penternakan ayam belanda secara ladang ada diusahakan di Malaysia biarpun dalam skala kecil. Penternakan ayam belanda diusahakan penternak bagi memenuhi permintaan terhadap ayam belanda yang semakin tinggi.
 
Ayam belanda biasanya mendapat permintaan tinggi atau meningkat setiap kali tiba musim perayaan Krismas. Ayam belanda biasanya menjadi hidangan sambutan makan malam yang meriah dengan kehadiran kaum keluarga yang berkumpul untuk meraikannya bersama-sama.
 
Hidangan ayam belanda juga begitu ikonik apabila ia dihidangkan di meja hidangan, terutama apabila ia dimasak seekor penuh.
 
Ayam belanda juga mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan Deepavali. Kini orang Melayu juga terikut-ikut untuk menjadikan menu hidangan ayam belanda ketika sambutan Aidulfitri mahupun Aidiladha.
 
Nama ayam belanda bukan kerana ia berasal dari Belanda atau banyak diternak di negara berkenaan. Ayam belanda dikatakan berasal dari benua Amerika Selatan dan Amerika Utara.
 
Nama "ayam belanda" dipercayai ada kaitan kerana dibawa oleh Belanda sekitar abad ke-17. Bagaimanapun, dikatakan ayam belanda itu bukan dibawa terus dari Belanda, tetapi dari India yang mana pedagang Belanda singga di India dan kemudian membawanya ke Nusantara, khususnya Indonesia.
 
Sebab itu di Indonesia ayam belanda lebih dikenali sebagai ‘kalkun’ iaitu dari perkataan Belanda ‘kalkoen’ hasil penyingkatan perkataan “Calicut-hoen” iaitu "ayam kolkata" hasil tempat ayam belanda ini diperoleh semasa berdagang di India.
 
Selain itu, ayam belanda juga mengenalinya sebagai ayam piru yang dikaitkan dengan nama Peru hasil perkenalan oleh orang-orang Portugis melalui nama “gallo do Peru” atau “gallinhas de Peru”.
 
Ayam belanda betina lebih kecil dan warna bulu kurang berwarna-warni dibandingkan ayam belanda jantan.
 
Seekor ayam belanda hidup kini dijual pada harga RM25 sekilogram manakala yang diproses pula RM35 sekilogram.
 
Ayam belanda tempatan biasanya dipasarkan selepas  tujuh bulan usia ayam itu dan berat dia boleh cecah 6 kilogram. Bagaimanapun, ayam belanda import biasanya dipasarkan selepas usia satu bulan. Sebab itu, ayam belanda tempatan rasa lebih sedap dan pejal. 

Ayam belanda ialah haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan tubuh yang diselubungi bulu pelepah. Paruh ayam belanda tidak bergigi. Bulunya mempunyai pelbagai warna bergantung kepada spesis dan baka. Ayam belanda berwarna putih adalah jenis hibrid. Jumlahnya masih kurang diternak.
 
Pembiakan ayam belanda seperti jenis ayam lain boleh dibiakkan dalam dua cara sama ada biar ayam belanda mengeram sendiri atau kita perlu menggunakan alat pengeraman elektrik.
 
Ayam belanda boleh dimasak dengan berbagai menu dan resepi. Selain daripada dipangang berempah (roasted), kita boleh juga masak rendang, goreng berempah, dibuat sate, masak kari, buat sup ayam, soto dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment