Pasar Gok Kapor, Kota Bharu terletak
kira-kira dua kilometer dari pusat bandar Kota Bharu. Lokasi Pasar Gok Kapor di
Jalan Gok Kapor yang tidak jauh dari Bulatan Gok Kapor. Pengunjung dari arah
Kota Bharu yang menggunakan Jalan Wakaf Mek Zainab perlu masuk ‘laluan pukul 9’
memasuki Jalan Gok Kapor untuk sampai di Pasar Gok Kapor yang terletak
kira-kira 100 meter di hadapan.
Pasar Gok Kapor dibina pada sekitar tahun 2000
sebagai penempatan baharu kepada peniaga yang berniaga di kiri kanan Jalan Gok
Kapor.
Waktu berniaga di tepi jalan ketika itu
bermula pukul 5 petang sehingga 7 malam. Perniagaan mendapat sambutan terutama
daripada mereka yang singgah pulang dari tempat kerja. Paling laris ketika itu
ialah ikan segar yang diperoleh peniaga terus daripada nelayan dari Kampung
Sabak, Kampung Kuala Besar dan Kampung Kedai Buloh.
Untuk memberi tempat yang lebih selesa
kepada peniaga dan pembeli, serta pengguna jalan raya, maka pihak kerajaan
telah membina pasar khas yang kemudian dikenali Pasar Gok Kapor.
Biarpun berniaga di tempat kekal, urusan perniagaan
di Pasar Gok Kapor masih meneruskan konsep pasar petang yang mana masa berniaga
pada waktu petang sahaja. Sedikit perbezaan masa adalah waktunya diawalkan pada
pukul dua petang sehinggalah 7 malam.
Selain hasil laut segar, di Pasar Gok Kapor
juga terdapat jualan kuih, buah-buahan, keperluan dapur dan ikan kering
dihasilkan pengusaha tempatan.
No comments:
Post a Comment