Friday, 20 January 2023

APABILA MANUSIA SEDAR TENTANG KELEMAHAN DIRI

  
Semua manusia sedar bahawa dirinya dan seluruh alam ini ada Penciptanya. Kepercayaan itu secara langsung mengakui bahawa pencipta itu maha berkuasa dan berhak menentukan apa yang diingini berlaku ke atas ciptaan-Nya.   

Maka sebab itu, tabie manusia perlu menentukan Tuhan yang diyakininya. Syariat Islam menentapkan hanya Allah yang layak disembah dan diyakini kekuasan-Nya. 
 
Keyakinan bahawa ada kuasa Maha Besar dan Maha Bijaksana mentadbir alam ini turut melibatkan penganut agama lain. Namun, mereka telah memilih jalah salah dalam menentukan siapa perlu disembah. Sedangkan Allah menerima agama lain selain Islam. 
 
Bukti lain menjelaskan manusia memerlukan Tuhan dapat kita perhatikan apabila setiap kali berdepan dengan malapetaka, kesusahan atau kesakitan, ketika itu manusia akan menyebut dan merayu kepada Allah. 
 
Ini jelas membuktikan bahawa manusia sedar bahawa apa yang berlaku terhadap dirinya dan alam ini adalah di bawah kekuasaan Allah. Maka itu mereka memohon agar Allah melindungi dan menjauhkan mereka daripada kesulitan yang dihadapi itu.
 
Malah, di kalangan penganut agama lain, mereka ada memakai tangkal atau sesuatu yang menjadi lambang kekuatan kepada diri mereka.  
 
Di kalangan penganut agama Kristian umpamanya akan memakai lambang salib sebagai cara untuk mendekati diri dengan Tuhannya. Mereka mengharapkan lambang itu dapat mengelak mereka dari gangguan syaitan, hantu dan menjauhkan malapetaka.
 
Sesungguhnya manusia sedar kelemahan diri dan merasakan betapa perlunya kepada pertolongan Tuhan. Manusia memerlukan panduan hidup dan petunjuk agar tidak tersesat dalam meneruskan hidup.
 
Umat Islam amat bertuah mendapat anugerah terbesar daripada Allah iaitu kitab al-Quran yang dijadikan panduan hidup sehingga ke hari kiamat.  
 
Biarpun al-Quran diturunkan lebih 1400 tahun lalu, namun ia tetap releven dan berguna untuk panduan hidup manusia sepanjang masa kepada seluruh bangsa tanpa mengira bangsa, budaya dan tempat tinggal. 
 
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya: Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya." - (Hadis riwayat Malik)
 

No comments:

Post a Comment