Saturday, 10 December 2022

Komposisi Kabinet Kerajaan Perpaduan 2022

 
Di sebalik pelbagai reaksi pelantikan jemaah menteri pascaPRU15, hakikatnya Kerajaan Perpaduan yang terbentuk adalah langkah penting dalam menamatkan kemelut ketidaktentuan politik dan Parlimen tergantung yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara.
 
Bertitik tolak daripada hasrat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Kerajaan Perpaduan itu dilihat sebagai jalan rintis kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mewujudkan sebuah kerajaan kuat dan stabil bagi mengelakkan situasi ketidakstabilan politik berlaku lagi seperti mana penggal lalu.
 
Biarpun begitu, langkah yang diambil Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ini ketika mengumumkan jemaah barisan menteri kabinetnya seramai 28 orang itu dan disifatkan banyak pihak 'berwajah Malaysia' telah menimbulkan pelbagai reaksi positif dan sebaliknya.
 
Sesungguhnya, pembentukan barisan kabinet kali ini adalah berbeza dan sukar sekali gus memerlukan sokongan jajaran parti lain dalam membentuk kerajaan.
 
Walaupun pada dasarnya Anwar mempunyai hak untuk melantik sesiapa sahaja yang dirasakan layak dalam membantunya mentadbir negara, namun beliau terpaksa meneliti beberapa faktor (pelantikan barisan menteri) dan pembahagian jawatan ini penting untuk beliau menghalusi sewajarnya memandangkan ia merupakan asas penting kerjasama dengan pelbagai parti dalam menjamin kestabilan politik negara.
 
Justeru, semua pihak perlu menerima hakikat akan situasi pentadbiran negara ketika ini serta menghentikan segala suara ketidakpuasan hati memandangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan ini juga merupakan hasrat Seri Paduka Baginda dan langkah paling tepat bagi merungkai kemelut politik dan tidak mempunyai kerajaan.yang mungkin mengancam keselamatan negera jika tidak diselesaikan segera.
 
Dengan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda, maka tertubuhlah apa yang dikatakan Kerajaan Perpaduan atau sesetengah pihak memanggilnya kerajaan campuran dan menerusi langkah ini, kita melihat Anwar dan parti politik yang bekerjasama melakukan pengorbanan besar dan ini harus diterima rakyat.
 

No comments:

Post a Comment