Sunday, 19 January 2020

BATASAN MENGHORMATI KEPERCAYAAN AGAMA LAIN

Kepelbagaian budaya dan agama dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan keunikan di negara ini. Setiap kaum mempunyai kepercayaan dan pegangan agama yang tersendiri.

Para ulamaksepakat bahawa meraikan perayaan keagamaan bukan-Muslim adalah haram. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah menetapkan beberapa garis panduan dalam mengharuskan umat Islam menghadiri majlis perayaan keagamaan bagi agama lain.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
- Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, hukum makan juadah yang menjadi tradisi hidangan semasa perayaan tertentu adalah dibolehkan selagi mana tidak ada kepercayaan tertentu yang melatari penyediaannya dan juadah itu sendiri. Ianya sekadar juadah yang disediakan secara tradisi, tanpa kepercayaan tertentu. Ini termasuklah juadah tradisi Pesta Pongal iaitu nasi manisan ‘Sakkarai Pongal’.

Jadilah kepelbagaian kita ini sebagai satu kekuatan dalam membina perpaduan di negara kita yang tercinta ini.

Dalam meraikan kepelbagaian kaum dan agama di negara kita, perlulah kita memastikan hukum hakam dan garis panduan yang telah ditetapkan dipatuhi dan dihormati.

Sebenarnya banyak boleh dilakukan untuk meraikan kepelbagaian kaum. Saling menghormati dan berbaik sangka terhadap kaum lain sudah termasuk dalam memperkuatkan hubungan kaum. Mengapa hanya melalui perayaan sahaja ingin dikaitkan dengan perpaduan?

Adat yang khusus bagi orang kafir adalah tetap dilarang oleh agama Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesunggunya pakaian ini adalah sebahagian pakaian orang-orang kafir maka jangan kamu memakainya." (Hadis riwayat Muslim)

Dari Anas bin Malik katanya : "Nabi SAW datang di Madinah, sedangkan penduduk Madinah mempunyai dua hari raya yang mereka bermain-main (merayakan) pada keduanya. Nabi bertanya, ‘Apa dua hari ini?’. Mereka menjawab, ‘Ini adalah dua hari yang kami bermain dan merayakannya di masa jahiliyah!. Nabi bersabda, Sesungguhnya Allah telah mengganti keduanya dengan yang lebih baik, yaitu hari raya qurban dan hari raya puasa."  (Hadis riwayat Abu Daud, Ahmad dan An Nasai)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum maka dia dari kaum itu." (Hadis riwaya Abu Daud, Ahmad )

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Hari kiamat tidak akan terjadi hingga umatku mengikuti jalan generasi sebelumnya sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Lalu ada yang menanyakan kepada Rasulullah, Apakah mereka itu mengikuti seperti Parsi dan Rom?. Baginda menjawab, Selain mereka, siapa lagi?." (Hadis riwayat Bukhari)

Berkata Sayyidina Umar: "Jauhilah musuh-musuh Allah dalam perayaan mereka." (Riwayat Baihaqiy)

Berkata Abdullah bin Amr bin Ash: "Barangsiapa mengikuti negeri ajam (kafir) dan ia melakukan perayaan Nairuz dan perayaan Mahrojan lalu meniru-niru mereka sehingga mati dalam keadaan seperti itu, maka ia akan dikumpulkan pada hari kiamat bersama mereka." (Riwayat Baihaqiy)

Berkata Imam Ad-Damiriy, Khatib Syarbini dan lain-lain: "Ditakzir dan dikecam orang islam yang bersama dengan orang Kafir didalam menyambut perayaan mereka." (An-Najmu Al-Wahhaj 9/244, Mugni Al-Muhtaj 4/191)

Berkata Al Qadhi Abul Mahasin al hasan bin Manshur Al Hanafy: "Barangsiapa yang membeli sesuatu pada hari itu (hari raya Nairuz dan Mahrojan) yang mana dia tidak membelinya pada hari lain atau ia menghadiahkannya kepada orang lain, jika ia maksudkan dengan perbuatan itu mengagungkan hari tersebut sebagaimana diagungkan oleh orang-orang kafir, maka ia telah kufur. Jika ia maksudkan dengan pembelian itu bersenang-senang dan bersuka-suka dan menghadiahkannya itu untuk saling hormat menghormati sebagai suatu adat kebiasaan, tidaklah ia menjadi kufur akan tetapi makruh kerana kemakruhan tasyabbuh (menyerupai) kaum kafir , kerana itu hendaklah dihindari.” (Aunul Ma’bud syarah sunan Abi Daud)

Berkata Abu Hafs al Kabir al Hanafiy: "Barangsiapa memberi hadiah pada hari Nairuz dengan sebutir telur kepada kaum musyrik dengan niat mengagungkan hari tersebut  maka ia telah kufur kepada Allah Ta’ala dan terhapus segala amalannya”. (Aunul Ma’bud Syarah sunan Abi Daud)

No comments:

Post a Comment