Sebenarnya
nasihat supaya kita mengamalkan sikap suka menabung atau berjimat telah lama
wujud dalam masyarakat kita. Pepatah, ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit’
adalah antara nasihat yang mendidik agar masyarakat menabung. Jumlah yang
sedikit akan menjadi banyak jika amalan menyimpan diteruskan dalam tempoh yang
lama.
Melentur
buluh biarlah daripada rebungnya merupakan peribahasa yang sangat sinonim dalam
masyarakat Melayu. Peribahasa ini bermaksud jika kita ingin melatih atau
membentuk kebiasaan dalam diri seseorang perlu dilakukan sejak kecil lagi. Pendekatan
ini juga perlu dilakukan untuk menerapkan amalan menabung kepada anak-anak
sejak kecil.
Amalan murni dan nilai keagamaan perlu
diasuh sejak mereka masih bayi lagi kerana amalan tersebut akan menjadi tabiat
apabila mereka besar nanti. Amalan murni tidak boleh diajar secara secara
matapelajaran dalam kelas, tetapi satu proses berterusan yang memerlukan
tunjukajar dan kesedaran bahawa apa yang dilakukan itu satu perkara baik.
Oleh
sebab itu, sikap menabung perlu dimulakan sejak awal lagi. Kanak-kanak dan
remaja yang menerima wang daripada ibu bapa patut digalakkan menabung
sebahagian wang yang diterima itu. Amalan itu diharap sebati dalam diri
sehingga dewasa dan memberi kesan kebaikan yang bukan saja kepada individu
berkenaan tetapi juga keluarga dan negara.
Rata-rata
remaja menerima wang saku melebihi daripada apa yang perlu dibelanjakan setiap
hari. Peluang mendapat wang saku melebihi daripada apa yang diperlukan
sepatutnya tidak menjadikan remaja berbelanja lebih. Wang diperoleh itu wajar
ditabung sebagai simpanan, walaupun ibu bapa memiliki banyak harta yang boleh
digunakan bila-bila masa tanpa had.
Apabila
dewasa segala keperluan hidup diurus sendiri termasuk wang untuk perbelanjaan
harian. Ketika itu amat penting mereka perlu bijak merancang perbelanjaan agar
tidak menghadapi masalah kewangan. Keupayaan mengurus kewangan dan berjimat
banyak bergantung kepada apa yang telah diamalkan sejak kecil lagi.
Sikap
tidak mementingkan berbelanja secara berhemah menyebabkan golongan muda
berdepan masalah kewangan. Mereka tidak tahu untuk berjimat kerana sudah
terbiasa dengan amalan berbelanja tanpa mengambil kira kemampuan yang telah
diamalkan sejak kecil.
Sikap
berbelanja melebihi pendapatan atau keupayaan membayar menyebabkan golongan
muda berdepan dengan krisis kewangan yang tidak dapat diselesaikan hingga
menyebabkan diiystiharkan muflis. Jika diteliti punca sikap itu adalah kerana
telah terbiasa hidup mewah hasil pemberian keluarga ketika usia kanak-kanak dan
remaja.
Banyak
remaja sekarang dimanjakan dengan wang ringgit oleh ibu bapa sebagai tanda
kasih sayang. Ibu bapa sanggup bersusah payah mencari wang demi untuk anak-anak,
sehingga ada remaja berbelanja seperti orang dewasa yang sudah berkerja. Mereka
memakai pekaian berjenama, memiliki kenderaan dan berbelanja mewah dengan
menggunakan wang disediakan oleh ibu bapa.
Sikap
ibu bapa yang terlalu memanjakan anak menyebabkan sikap lupa diri hingga terjebak
dalam kancah kehidupan tidak sihat. Perasaan ingin berbelanja dengan bijak dan
berjimat tidak terlintas langsung dalam fikiran mereka berterusan hinggalah
dewasa.
Remaja
patut sedar setiap sen yang diterima daripada ibu bapa merupakan satu amanah
agar digunakan untuk kebaikan. Berbelanja dengan cermat dan berhemah satu
amalan mulia. Beringat semasa senang dapat mengelak bencana dan kesusahan yang
tidak dapat diduga pada masa hadapan.
Amalan
menabung di kalangan remaja mampu membentuk masyarakat yang berdisiplin dan
bermaruah. Mereka bijak menilai keperluan hidup tanpa melepasi batas-batas
keperluan sehingga membazir dan merugikan.
Sebenarnya
tidak semua anak bernasib baik terus mendapat kekayaan daripada ibu bapa.
Sebaliknya, mereka perlu lebih berdikari dan mencari sendiri wang yang
diperlukan. Setelah dewasa baru ramai yang sedar betapa sukarnya untuk mencari
wang.
Justeru,
itu remaja perlu dididik dengan sikap berjimat dan menabung untuk simpanan masa
depan, juga sebagai satu pelaburan yang menguntungkan. Simpanan dalam institusi
kewangan dan saham amanah memberi pulangan lumayan yang meningkatkan jumlah
simpanan.
Pada
masa yang sama, simpanan itu dapat membantu negara mengurangkan kadar inflasi.
Dalam keadaan ekonomi menghadapi masalah, peningkatan kadar inflasi lebih mudah
berlaku jika pengawalan tidak dibuat dengan baik.
Remaja
boleh memilih sama ada untuk menabung dengan institusi perbankan konvensional
yang mengamalkan kadar faedah tetap atau sistem perbankan Islam yang
berdasarkan kaedah perkongsian untung dan beberapa syarat lain mengikut syariat
Islam.
Remaja
juga boleh melabur wang di dalam saham amanah yang banyak terdapat di negara
kita. Sekarang sudah ada saham amanah
yang diwujudkan khas untuk remaja. Permodalan Nasional Berhad (PNB) contohnya
telah memperkenalkan Amanah Saham Didik (ASD) sejak 20 April 2001, khusus untuk
golongan pelajar dan remaja.
Kewujudan
saham amanah tersebut menunjukkan galakan kerajaan agar setiap remaja turut
melabur di dalam saham yang memberi pulangan lumayan dan menggalakkan amalan
menabung. Kebaikan melabur di dalam saham amanah ialah kadar risikonya lebih
rendah berbanding jika melabur di dalam pasaran terbuka, terutama ketika dalam
keadaan ekonomi yang tidak stabil.
No comments:
Post a Comment