Nabi
Muhammad tidak pernah mengetepikan sumbangan remaja dalam memperkasakan ummah. Potensi
diri golongan remaja dipergunakan sebaik mungkin tanpa ada prejudis tentang
kemampuannya.
Ketika
misi hijrah, Rasulullah menggunakan khidmat Saidina Ali yang ketika itu masih
kanak-kanan untuk menggantikan tempat tidur baginda bagi mengelirukan kaum
kafir Quarisy. Hasil tarbiah pembinaan peribadi unggul yang berterusan daripada
Rasulullah, maka Saidina Ali lahir sebagai tokoh Islam terbilang.
Seorang
lagi sahabat yang berjuang bersama Nabi Muhammad sejak usia kanak-kanak ialah
Zaid bin Tsabit. Beliau menghambakan diri demi agama dan ketika usia
kanak-kanak telah memohon menyertai angkatan perang Muslim dalam Perang Badar
dan Perang Uhud.
Disebabkan
usia terlalu muda dan melihat potensi diri untuk menjadi ilmuan terbilang,
Rasulullah menolak permohonan itu. Zaid hanya menyertai tentera Islam dalam
Perang Khandak setelah usia meningkat remaja.
Akhlak
Zaid amat terbilang mendapat kepercayaan Rasulullah menjadi jurutulis dan
penterjemah kepada baginda. Zaid dipertanggungjawab oleh Khalifah Abu Bakar
untuk mengumpul semua ayat al-Quran untuk dibukukan seperti yang dapat kita
baca pada hari ini.
Dalam
sebuah sabda, Rasulullah menjelaskan penghormatan Allah kepada golongan remaja
yang baik akhlaknya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah sangat
kagum terhadap pemuda yang tidak didapati pada dirinya keruntuhan moral dan
akhlak.” (Hadis riwayat Ahmad).
Malah
Allah merakamkan sikap pemuda yang lari daripada tindakan raja yang zalim
semata-mata untuk menyelamat akidah.
Firman
Allah bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka yang
benar, sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan
Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (Surah al-Kahfi, ayat 13).
Tanpa
mendapat bimbingan akhlak yang sempurna menyebabkan remaja terlibat dengan
amalan yang jauh menyimpang dari norma kehidupan.
Fenomena
ini jika tidak diatasi segera akan merosakkan seluruh komiti masyarakat dan
mencemarkan nama baik Islam sebagai agama yang mementingkan pembinaan akhlak
dan kehidupan sejahtera.
Usaha
mendekatkan golongan remaja ke arah amalan beragama memerlukan penyertaan semua
pihak. Lebih banyak individu yang bersedia memainkan peranan sebagai pendakwah
diperlukan.
Pendakwah
tidak semestinya terdiri golongan agama sahaja. Guru, polis, sasterawan,
pemimpin, hakim, peguam, ushawan dan semua individu yang berusaha menyeru
kepada kebaikan adalah pendakwah.
Gerakan
dakwah yang lebih menyeluruh kepada golongan remaja secara konsisten dapat
membantu menangani masalah yang ditimbulkan golongan remaja sekarang.
Program
dakwah mendekati remaja memerlukan pendekatan khusus. Berdakwah tidak hanya
dilakukan di masjid dan surau semata-mata. Sekiranya ingin berdakwah kepada
golongan remaja, maka perlulah mendekati di mana mereka berada.
Menyalahkan
remaja sebenarnya membuka pekung di dada yang mana tanda kegagalan semua pihak
mendidik dan mengawal golongan itu. Sikap remaja adalah hasil dicontohi dalam
masyarakat. Cacat cela pekerti remaja hasil acuan didikan ibu bapa dan
masyarakat.
Untuk
mendidik mereka yang terlibat gejala negatif tidak memadai cara mengajak datang
ke masjid. Nasihat khatib ketika membaca khutbah dan guru agama di masjid
sebenarnya tidak sampai kepada sasaran, kerana golongan rosak akhlak tidak
hadir ke masjid.
Pendakwah
perlu keluar dari kepompong yang hanya berdakwah di masjid atau bergerak dari
satu rumah ke satu rumah dengan berjubah dan berserban mengajak orang mengikut
program yang dianjurkan.
Pendakwah
perlu mengubah penampilan diri, berpakaian seperti kebanyakan golongan remaja. Pendakwah
perlu berani masuk ke disko, melalui lorong belakang dan bergaul bersama-sama
mat lepak. Pendakwah perlu mengetahui cara hidup golongan remaja yang terpengaruh
gejala negatif.
Pendakwah
perlu mencari punca remaja terjebak masalah itu dan mulakan usaha dakwah secara
berperingkat-peringkat. Dari situlah pendakwah dapat menyesuaikan cara terbaik
yang hendaklah dilakukan dengan teliti mengambil masa yang lama.
Usaha
dakwah kepada golongan remaja perlu dipertingkatkan membimbing mereka menjadi
rakyat bertanggungjawab. Jika tidak, golongan ini akan dieksplotasikan oleh
pihak tidak bertanggungjawab.
Golongan
remaja mudah dibentuk mengikut acuan yang disediakan untuk mereka. Kelebihan
ini perlu diambil kesempatan untuk melahirkan generasi beriman dan rakyat yang
sentiasa menjunjung Rukun Negara.
Gerakan
dakwah kepada golongan remaja memberi makna yang besar dalam proses pembinaan
sebuah negara yang berjaya, aman, harmoni dan kuat. Membiarkan remaja terus
runtuh akhlak remaja bermakna semua impian akan musnah.
Golongan
remaja tanpa bimbingan dorongan positif mudah hilang matlamat hidup, hilang
nilai diri dan mengabaikan tugas dalam beragama.
Untuk
mengelak bencana dicetuskan golongan remaja, adalah menjadi tanggungjawab semua
pihak melakukan tugas dakwah dan membimbing belia agar tidak terjebak dalam
kancah kehidupan membinasakan diri sendiri, keluarga dan negara.
Sayyid
Qutb dalam bukunya al-Mustaqbil Lihadzad Din mengatakan apabila manusia
tidak mengerti akan hakikatnya, kedudukannya dalam alam semesta dan tujuan
adanya di bumi ini, pastilah kehidupannya akan berakhir pada hujung yang
menyedihkan, sehingga manusia berada dalam lingkungan menanggung azab derita.
No comments:
Post a Comment