Wednesday 16 February 2022

4 JURUTERBANG HELIKOPTER TDM TERIMA SAYAP

  
KUALA LUMPUR, 15 Februari 2022 –Seramai 4 Pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) dan 4 Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dianugerahkan sayap penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan pada hari ini.
 
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Ackbal bin Haji Abdul Samad TUDM yang berlangsung di Eagle Nest, Markas Tentera Udara di Wisma Pertahanan.
 
Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 62/21 merupakan siri khas kerana hanya terdiri daripada perkhidmatan TDM dan TLDM sahaja. Kursus ini merupakan fasa asas penerbangan untuk pelatih helikopter yang dilaksanakan di Institut Penerbangan 2 (INSPEN 2), Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah.
 
Terdahulu, kesemua pelatih telah berjaya menamatkan Kursus Ilmu Penerbangan Asas (KIPA) di INSPEN 1 kemudian meneruskan Kursus Asas Penerbangan Helikopter di INSPEN 2 mulai 4 Januari 2021 menggunakan pesawat Eurocopter EC 120B Colibri.
 
Dalam majlis yang sama, Kapten Muhammad Farris Syaza bin Zamri telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Penerbangan Helikopter Terbaik, manakala Anugerah Pelatih Akademi Terbaik pula dinobatkan kepada Leftenan Mohamad Hanafie bin Mohd Yasir TLDM.
 
Seluruh warga TDM mengucapkan sekalung tahniah kepada kesemua pelatih yang berjaya menamatkan kursus tersebut seterusnya berjaya dilahirkan sebagai juruterbang pesawat tentera yang berkebolehan.
 
Sumber: FB Tentera Darat Malaysia

No comments:

Post a Comment