Saturday 2 October 2021

PULAU SERATUS, TUMPAT GAMIT PENGUNJUNG

  
Pulau Seratus, terletak di daerah Tumpat. Boleh ke sana dengan menaiki bot melalui Jeti Kok Majid, Tumpat ataupun Jeti Kuala Besar, Kota Bharu. 
 
Pulau Seratus salah satu daripada 33 pulau yang terdapat di delta Sungai Kelantan sebelah jajahan Tumpat. Namun, daripada 33 pulau itu, hanya 13 pulau yang didiami, termasuk Pulau Seratus. 
 
Pulau lain yang didiami ialah Pulau Renjuna, Pulau Beluru, Pantai Suri, Pulau Haji Nik Mat dan Pulau Cendor.
 
Di Pulau Seratus terdapat 37 buah keluarga dengan jumlah penduduk melebihi 130 orang. Masa menaiki bot dari Jeti Kok Majid ke Jeti Pulau Seratus mengambil masa kira-kira 20 minit. 
 
Kanak-kanak di Pulau Seratus bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru dan bersekolah menengah di beberapa sekolah menengah di jajahan Tumpat mahupun Kota Bharu. 
 
Suasana di Pulau Seratus damai dengan suasana kampung tanpa kenderaan, kecuali kedengaran enjin bot dan motosikal. 
 
Hubungan sesama penduduk amat harmoni, saling menghormati dan bantu membantu antara satu sama lain. 
 
Penduduk Pulau Seratus mendapat bekalan elektrik sepenuhnya dari TNB dan sumber air bersih dari Syarikat Air Kelantan Sendirian Berhad. 
 
Liputan internet juga dinikmati penduduk kampung disediakan syarikat telekomunikasi. 
 
Dengan kata lain, penduduk Pulau Seratus tidak tersisih dari segi kemudahan awan, kecuali tidak dihubungi melalui jalan darat dari tanah besar.

 
 

1 comment:

  1. Sesetengah pulau mendapat liputan internet, tapi pulau Sya iaitu pulau tongkang susah mendapat liputan internet. Terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan rangkaian internet dengan menghabiskan ribuan ringgit....

    ReplyDelete