Sunday 8 August 2021

FAHAMAN PLURALISME DIGERAKKAN GOLONGAN ILMUAN

 
Fahaman pluralisme mengancam akidah umat Islam. Pluralisme agama merupakan konsep yang luas tentang penerimaan agama-agama yang pelbagai. 
 
Pada tahun 2005 Majlis Fatwa Ulama Islam Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa mengharamkan pluralisme agama. 
 
Pada tahun 2006, Muzakarah Ulama Se-Malaysia turut mengharamkan fahaman tersebut.  
 
Di Malaysia, gerakan pluralisme agama belum begitu ketara. Namun, ianya dipercayai mempunyai pengikut di kalangan mereka yang terpelajar dan berpengaruh, khususnya di kalangan mereka yang rapat dengan Barat. 
 
Perkara ini pernah didedahkan oleh Dr. Yusri Mohamad dan Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady semasa ‘Wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah tahun 2010. 
 
Dalam usaha menyebarkan fahaman pluralisme agama di negara ini, mereka sangat berhati-hati dengan tidak menyebarkannya secara terang-terangan. 
 
Sebenarnya serangan pemikiran pluralisme sedang menerjah ke dalam negara memandangkan fahaman ini telah dipromosikan oleh sarjana Islam sendiri seperti bekas professor di Universiti Kahirah (Mesir), Nasr Hamid Abu Zayd. 
 
Manakala di Tunisia terdapat tokoh bernama Ali Harb. Sarjan-sarjana Islam lain termasuklah  Sayyed Hussein Nasr, Mohamad Arkoun, Hasan Hanafi dan Amina Wadud. 
 
Di Indonesia, Nurcholish Madjid (Cak Nur) adalah pengasas Islam Liberal yang disertai beberapa tokoh terpelajar seperti Ulil Abshar Abdalla, Abdul Munir Mulkhan, Sukudi, Alwi Shihab, Budhy Munawar rahman, Azyumardi Azra, Nassarudin Umar  dan ramai lagi. 
 
Hampir kesemua tokoh itu pernah mendapat didikan di negara Barat dan ada yang pernah berkhidmat di institusi-institusi pengajian Barat. 
 
Nurcholish Madjid  telah mengubah makna Kalimah Syahadah dengan pengertian “Tidak ada tuhan kecuali Tuhan” dengan tafsiran pengertiannya bahawa menyembah Tuhan yang mana sekali pun adalah benar kerana hakikatnya semuanya menuju ke satu titik pusat, iaitu “Hakikat Yang Tunggal”. Bagi mereka, semua agama adalah cabang-cabang yang berasal dari pohon yang sama. 
 
Maka itu, sarjana Islam dan pemimpin perlu berkerjasama untuk menghalang fahaman salah ini menular di negara kita. Soal berbeza fahaman politik perlu dilupakan bagi memastikan umat Islam di Malaysia bebas daripada fahaman menyesatkan ini. 

No comments:

Post a Comment