Boros
sifat syaitan. Islam menganjurkan agar kita bersederhana dalam apa juga
perkara, termasuk dalam soal makan.
Banyak orang membeli pelbagai jenis makanan dan minuman kadangkala agak
keterlaluan dan melampaui batas. Apa yang dibeli bukan satu keperluan atau
hendak dimakan.
Meskipun
berbelanja itu menjadi hak seseorang, tetapi hakikatnya Islam memandang perkara
ini sebagai pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah
melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.
Kita tentu dapat mengagak sendiri adakah semua makanan yang dibeli itu dapat dimakan
semuanya. Biarpun nafsu kita besar, hakikatnya perut kita ada
batasnya.
Cara terbaik mendidik nafsu ialah mengelak daripada melihat pelbagai juadah
yang dijual. Nafsu hendak membeli akan tertutup jika kita tidak melihat
makanan yang pelbagai jenis itu.
Maka itu, hadkan masa atau tempat untuk membeli. Jangan berada terlalu lama di
gerai atau bazar menjual makanan. Setelah membeli apa yang perlu, segera
beredar dari termpat itu.
Kita juga perlu bersihkan hati daripada sifat buruk suka boros. Apabila
kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan. Akhirnya hal ini
membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk
memenuhi kemudahan hidup.
Justeru, mereka tidak lagi berbelanja atau mengguna secara berlebih-lebihan
(boros) sehingga membawa kepada pembaziran. Amat mendukacitakan apabila
pembaziran dilakukan ketika ada segelintir ahli masyarakat terlalu memerlukan
bantuan.
Alangkah baiknya jika kita menghapuskan amalan pemborosan dan pembaziran dengan
menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau
sumbangan dihulurkan, Allah SWT akan menyediakan ganjaran pahala berlipat kali
ganda.
Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar Allah
SWT mensyariatkan puasa Ramadan, seterusnya melahirkan masyarakat penyayang dan
berwawasan.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan
haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu
membelanjakan (hartamu) secara membazir (boros).” (Surah al-Isra’, ayat
26)
Allah SWT menggalakkan amalan bersedekah dan melarang amalan berbelanja secara
berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Oleh itu, marilah bersama
meninggalkan sesuatu yang keji dan mengamalkan yang baik lagi terpuji.
No comments:
Post a Comment