Tuesday 29 November 2016

ILMU HARTA PALING BERHARGA

Sejarah tamadun Islam dan semua bangsa diasaskan berdasarkan kepada kekuatan dan penguasaan ilmu yang dicapai oleh masyarakat berkenaan. Jadi, usaha besar yang perlu dilakukan seluruh umat Islam sekarang untuk mencapai kedudukan terbaik adalah dengan meningkatkan penguasaan ilmu di kalangan penganutnya. 

Kekuatan ilmu memberi kelebihan untuk melakukan urusan kehidupan moden hari ini yang memerlukan pengetahuan dan kepakaran. Mereka yang gagal menguasai ilmu pengetahuan dan kepakaran berkenaan tidak mampu untuk bersaing mendapat kebaikannya.    

Allah SWT telah member peringatan mengenai kepentingan ilmu. Mereka yang berilmu mendapat kedudukan yang lebih tinggi berbanding orang tidak berilmu. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Kita tidak mampu mengatasi kekuatan pihak lain jika sekadar hebat berdemostrasi dan melakukan perbuatan ekstrem. 

Perbuatan demostrasi mendatangkan keburukan kepada masyarakat setempat dan tidak diperdulikan oleh pihak yang ditujukan tujuan berdemostrasi itu.

Orang bijak menggunakan kekuatan ilmu untuk mengatasi musuh, bukannya dengan kemarahan. Orang sedang marah adalah mereka yang paling lemah. Sebab itu, orang sedang marah melakukan perbuatan yang mendatangkan kerugian pada diri sendiri. 

Umat Islam dahulu amat mencintai ilmu disebabkan yakin dengan kelebihan yang dijanjikan kepada mereka yang berilmu. 

Ini bertepatan dengan hadis diriwayatkan Ibnu Majah dan Baihaqi bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas tiap-tiap lelaki dan perempuan.”

Pembangunan modal insan melalui pendidikan di peringkat sekolah dan pengajian tinggi satu pelaburan penting untuk negara mencapai status negara maju dan contoh pada masa depan. 

Penyediaan pasarana pendidikan yang baik dan disokong oleh sikap ibu bapa yang mementingkan pendidikan anak masing-masing mencetus fenomina masyarakat berilmu di negara kita.

Ibu bapa yang ingin melihat anaknya berjaya perlu mengutamakan usaha memberi pendidikan terbaik kepada anak masing-masing. 

Ilmu adalah harta paling bermakna.  Saidina Ali bin Abi Talib mengatakan, "Tiada kekayaan lebih utama daripada akal. Tiada kepapaan lebih menyedihkan daripada kebodohan. Tiada warisan lebih baik daripada ilmu".

No comments:

Post a Comment