Tuesday 29 November 2016

BOLEHKAH BERI ZAKAT KEPADA AHLI KELUARGA?

Urusan zakat tidak boleh diambil mudah. Zakat perlu dikeluarkan atau diserahkan kepada golongan yang layak menerimanya atau dinamakan golongan asnaf. Persoalannya, adakah jika suami atau ahli keluarga yang termasuk dalam golongan asnaf layak menerima zakat dari ahli keluarga sendiri. 

Ulama berselisih pendapat mengenai kedudukan memberi zakat kepada ahli keluarga, terutama zakat harta isteri kepada suami. Majoriti ulama mengatakan sah zakat diserahkan kepada ahli keluarga, manakala sebahagian pula mengatakan tidak sah.

Ulama yang mengatakan dibolehkan isteri memberi zakat kepada suaminya berdasarkan kepada maksud umum ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan bahwa orang miskin berhak mendapatkan zakat dari orang kaya, termasuk di dalamnya suami yang miskin berhak mendapatkan zakat dari istrinya yang kaya. 

Tidak ada ayat al-Quran dan hadis yang mengharamkan suami menerima zakat daripada isterinya.

Disebut dalam satu hadis mengatakan sedekah kepada ahli keluarga lebih utama. Sedekah yang diberikan kepada kaum keluarga adalah dikira dua kebajikan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sedekah kepada fakir miskin itu adalah satu kebajikan (sedekah) manakala sedekah yang diberikan kepada kaum keluarga pula adalah dua kebajikan (sedekah dan hubungan keluarga).” (Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi dan Nasai).

Dalam satu hadis yang lain bahawa Zainab isteri kepada Ibnu Masud bertanya Rasulullah SAW: “Wahai Nabi Allah! Sebenarnya kamu mewajibkan sedekah hari ini sedangkan aku ada memiliki perhiasan dan aku ingin bersedekah dari perhiasan itu lalu Ibnu Masud merasakan dirinya dan anak-anaknya lebih berhak (menerimanya) dari orang lain.” Maka Nabi SAW bersabda: Ibnu Masud benar, suamimu dan anak-anakmu lebih berhak menerimanya (sedekah kamu itu) (Riwayat Bukhari).

Berkata Ibnu Hajar (Fathu al-Bari: 3/329 ): “Hadis ini menjadi dalil kebolehan seorang isteri memberikan zakat kepada suaminya”.

Berdasarkan hadis inilah, ahli fikah mengatakan harus isteri membayar zakatnya kepada suami sahaja kerana isterinya itu orang berada manakala suami pula termasuk dalam orang yang berhak dan bukan tanggungannya. Sedangkan dalam hadis tersebut pula jelas difahami oleh Zainab sebagai sedekah wajib sedangkan sedekah wajib itulah apa yang dimaksudkan dengan zakat.

Tetapi kata sesetengah ulama harta dari zakat tersebut tidak harus dibelanjakan sebagai nafkah untuk membiayai isterinya. Tetapi kata yang lain bila harta itu sudah menjadi miliknya dia bebas membelanjakannya ke mana yang dikehendakinya seperti dalam hadis mengenai kafarah yang juga harus dibayar kepada isteri dan keluarga yang berhak dari fakir miskin.

Pendapat lain mengatakan suami tidak layak menerima zakat dari isterinya. Ini adalah pendapat Abu Hanifah dan riwayat Imam Ahmad. Dalil pendapat ini, bahawa sebagaimana seorang suami tidak dibolehkan memberikan zakat kepada isterinya, maka isteripun demikian tidak boleh memberikan zakatnya kepada suaminya. 

Pasangan suami isteri dianggap satu perkongsian yang saling memiliki. Oleh sebab itu, sebahagian ulama seperti Ibnu Hazm mengatakan jika suami miskin, dan isteri kaya, maka isteri berkewajiban memberikan nafkah kepada suaminya berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 233 yang bermaksud: “Dan bagi ahli waris punya kewajiban serupa.

Malah, jika isteri memberi zakat kepada suami, wang itu pula akan diberikan kepada isterinya semula sebagai nafkah yang wajib menjadi tanggjawabnya.

Golongan yang mengatakan tidak boleh memberikan zakat kepada isteri juga menjelaskan bahawa hadis yang disandarkan oleh pihak yang mengharuskan adalah merujuk kepada sedekah tidak wajib dan bukannya berhubungan dengan zakat. 

Sedekah memang boleh diberikan kepada sesiapa, sedangkan zakat ada golongan tertentu yang layak menerimanya. Zakat adalah wajib dan jika tidak dilaksanakan mengikut aturan menyebabkan ia tidak sah dan perlu diulangi semula.  

Adapun alasan pendapat yang menyamakan antara suami isteri dalam masalah pembayaran zakat tidaklah benar. Ini disebabkan suami berkewajiban memberikan nafkah kepada isterinya yang menjadikan isteri mencukupi keperluan hidupnya dan tidak lagi memerlukan zakat, maka suami tidak boleh memberikan zakat kepadanya.

Berkata Ibnu Qudamah di dalam ( al-Mughni: 2/ 279 ): “Jika isteri miskin, sedangkan suami kaya, dan selalu memberikan nafkah kepadanya, maka tidak dibolehkan baginya memberikan zakat kepada isterinya, kerana isteri sudah cukup dengan nafkah dari suami.”

Sebaliknya, isteri kaya tidak wajib memberi nafkah kepada suaminya yang miskin. Harta isteri tidak menjadi harta suami biarpun turut digunakan oleh suami. Milik harta itu kekal pada isterinya, kecuali isteri telah menyerah hak itu kepada suaminya.  

Dalam kes harta isteri tidak diserahkan hak pemilikan kepada suami, maka suami kekal miskin dan fakir (jika itulah kedudukannya) biarpun tinggal dan menggunakan harta isteri seperti kediaman dan kenderaan. Maka itu, isteri dibolehkan memberikan zakat kepada suaminya.  

Namun, dalam kes isteri yang telah berkongsi pemilikan hartanya dengan suaminya, maka ketika itu suaminya juga sudah layak digelar sebagai orang kaya, biarpun tidak memiliki sumber pendapatan sendiri.

Maka, suami tidak layak menerima zakat dari isterinya kerana dirinya telah termasuk golongan kaya atau tidak layak menerima zakat.

No comments:

Post a Comment