Tuesday 29 November 2016

DAKWAH DI MEDIA SOSIAL

Setiap pendakwah perlu menguasai atau faham apa yang ingin disampaikan kepada orang lain. Penyebaran ilmu atau maklumat yang tidak tepat akan merosakkan niat murni untuk berdakwah. 

Pun begitu, ini tidak menjadi penghalang untuk sesiapa ingin berdakwah di alam maya. Sebenarnya banyak usaha yang boleh dilakukan untuk melaksanakan tugas itu.

Sesiapa sahaja boleh menjadi pendakwah di alam maya asalkan ada kemahuan dan keikhlasan. Sampaikan walaupun hanya sekelumit ilmu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sampaikan daripadaku walaupun hanya satu ayat." (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi)

Bagi mereka yang tidak mendalami ilmu agama, sudah memadai dia melakukan tugas dakwah di alam maya dengan cara menyalin atau membuat pautan ke laman-laman tertentu yang disediakan oleh mereka yang alim atau arif mengenainya.

Tindakan itu membolehkan bahan itu tersebar lebih meluas. Jika ia dimuatkan di laman sosial seperti facebook, individu dalam rangkaian sahabat dapat berkongsi sama maklumat itu. 

Kaedah 'salin' dan 'tampal' memang mudah dilakukan. Selain itu tindakan 'kongsi' juga dapat membantu sesuatu maklumat disebarkan lebih meluas.

Usaha itu biarpun nampak mudah, tetapi kesannya amat besar. Ini kerana laman maya sudah menjadi medium utama perkongsian maklumat masa kini. Boleh dikatakan semua golongan muda di negara kita mendapat capaian laman maya sama ada menggunakan komputer atau gajet lain yang digunakan secara meluas. 

Untuk menyediakan bahan untuk disebarkan, maka perlulah penyertaan golongan berilmu di kalangan ustaz, pegawai agama, guru, pensyarah dan mereka yang terlibat secara langsung dalam ilmu-ilmu agama. Bahan yang disediakan itu dapat dikongsikan oleh orang lain. 

Dalam hal ini, bahan yang disiarkan di dalam laman web masing-masing hendaklah dilabelkan sebagai boleh dikongsi dan boleh disalin. Dengan kata lain, tidak dilabelkan sebagai hak cipta terpelihara yang menyebabkan ia tidak boleh diulang sebar tanpa kebenaran penulis asal. Sesugguhnya balasan melakukan kerja dakwah berganda-ganda tanpa disedari.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa menyeru manusia kepada sesuatu kebaikan, dia akan beroleh pahala sebanyak pahala orang yang mengikutnya dan berkekalan selagi orang itu terus melakukan perkara kebaikan itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan pertubuhan agama perlu memainkan peranan utama untuk menyediakan bahan dakwah di alam maya. Mereka mempunyai pakar dan tenaga terlatih untuk mengendalikan laman web masing-masing secara lebih menarik dan bermanfaat. 

Agensi agama contohnya mempunyai autoriti dalam bidang agama boleh mengetengahkan isu-isu dan persoalan ummah kontemporari. Sebarang permasalahan semasa dijawab dengan cepat dan mudah. Pelayar laman itu lebih yakin dan menerima kandungan yang dimuatkan.

Selain dalam bentuk tulisan dan gambar, laman maya juga boleh berkongsi audio video. Pengunjung dapat merasakan seperti menghadiri majlis ilmu itu. Banyak pendakwah kini memuat turunkan video ceramah masing-masing dalam laman maya seperti youtube.

No comments:

Post a Comment