Friday, 27 December 2024

REPLIKA ROKET DITAMPAL BENDERA CHINA

 
Majlis Daerah Tangkak (MDT) mengarahkan Festival Lampu LED yang mempamerkan struktur replika roket yang tertera bendera China, dihentikan serta-merta. Malah, struktur roket tersebut itu juga sudah diturunkan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan susulan aduan penduduk.
 
Festival yang diadakan di pekarangan Dewan Serba Guna Bukit Gambir itu menimbulkan kegelisahan masyarakat tempatan apabila replika roket itu tertera bendera China.
 
Sehubungan itu, siasatan segera dijalankan oleh pihak MDT di tapak dan mendapati penganjur tidak mematuhi syarat-syarat penganjuran karnival khususnya tidak menjaga sensitiviti masyarakat.
 
Tindakan menurunkan struktur yang dimaksudkan dibuat dan satu notis arahan pemberhentian operasi serta-merta dikeluarkan oleh pihak MDT kepada penganjur selaras dengan seksyen 14(1) (b) dan 49(2) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (Majlis Daerah Tangkak) 2017 kerana perlanggaran syarat itu.
 
Pihak polis pula dilaporkan membuka dua kertas siasatan susulan bendera China tertera pada replika roket sempena Festival Lampu LED, susulan aduan penduduk.
 
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

No comments:

Post a Comment