Thursday, 30 January 2020

AMAL BERSYUKUR, CARA UNTUK CAPAI KEJAYAAN HIDUP

Setiap masa kita beroleh kejayaan tanpa kita sedari. Tidakkah setiap apa yang mampu kita lakukan itu satu kejayaan? Sebutlah apa sahaja yang telah kita lakukan, itu adalah kejayaan. Kerana di sebalik kejayaan yang kita rasa perkara biasa itu sebenarnya masih banyak orang tidak mampu melakukannya. 

Ambil contoh mudah, kita berjalan. Itu satu kejayaan. Iaitu kejayaan berjalan. Cuba perhatikan berapa ramai orang yang tidak mampu berjalan disebabkan lumpuh, penyakit, kecacatan dan sebagainya.

Sebab itu kita kena bersyukur dengan nikmat kehidupan ini. Sedikit kegagalan yang terpaksa ditempuh adalah satu ujian. Banyak individu didapati mencapai kejayaan selepas mengalami kegagalan sebelumnya. Kegagalan yang dialami itu menyebabkan mereka berusaha lebih gigih untuk memperoleh kejayaan lebih baik. 

Begitu juga kepada yang memperoleh kejayaan diingatkan agar mudah lupa diri. Didapati banyak pelajar yang berjaya cemerlang dalam suatu peperiksaan tidak meneruskan kejayaan itu pada peperiksaan lain.

Sebenarnya kejayaan lahir daripada usaha yang berterusan. Perjalanan menuju destinasi sentiasa berterusan dan tidak terhenti dengan satu usaha dan kejayaan sahaja. Bagi individu yang berjaya maupun gagal tetap perlu menggandakan usaha untuk terus menuju destinasi baru. 

Dengan kata lain, kejayaan maupun kegagalan tidak hanya terhenti di satu destinasi. Kita selalunya memikirkan nasib mereka yang kurang berjaya atau gagal. Mereka ini memerlukan lebih sokongan dan motivasi untuk mencapai kejayaan pada masa seterusnya.

Bagi mereka yang kurang berjaya jangan mudah putus asa kerana peluang untuk berjaya pada masa hadapan masih terbentang luas. Kegagalan bukan bermakna anda tidak ada potensi untuk berjaya. Sebenarnya, setiap orang mempunyai peluang untuk berjaya jika kena caranya. 

Sebab itu, jangan salahkan diri sendiri atas kegagalan itu. Sebaliknya carilah punca yang mungkin menjadi penyebabnya. Ini untuk memudahkan usaha memperbaiki kelemahan itu.  Apa yang penting, jangan mudah lemah semangat untuk terus mencuba. 

Mungkin ada yang merasakan betapa sukarnya untuk menerima erti kegagalan. Pengalaman pahit yang dilalui menimbulkan rasa ketakutan perkara itu akan berulang lagi. Di sinilah pentingnya sikap positif ditanam dalam diri. Kekuatan jiwa dan jati diri perlu disuburkan sepertilah perjuangan baru bermula.

Jika diri tidak mampu keluar daripada kepompong sikap negatif, selama itulah diri akan dikuasai semangat lemah yang akan terbawa-bawa dalam semua aspek kehidupan. Mereka bukan sahaja gagal dalam pelajaran, tetapi berdepan dengan cara hidup yang bantut dalam semua hal.

Sebaliknya, individu yang berjaya bangkit daripada kegagalan mampu meneruskan perjuangan dengan lebih cemerlang. Pengalaman adalah guru yang paling bijaksana yang mengajar seseorang untuk lebih bersemangat pada setiap perjuangan seterusnya agar kegagalan yang pernah dilalui dahulu tidak berulang lagi, biarpun dalam perkara lain.

No comments:

Post a Comment