Tuesday, 17 July 2018

PANTAI IRAMA MENGGAMIT PENGUNJUNG

Pantai Irama antara pantai peranginan menjadi tumpuan ramai penduduk Kelantan dan pelancong untuk menikmati keindahan, beristirahat dan melakukan aktiviti di pantai pada setiap cuti hujung minggu, maupun pada hari-hari biasa.    

Pantai Irama terletak kira-kira 30 kilometer dari Kota Bharu. Pantai Irama boleh dikatakan pantai peranginan tepi pekan kerana kedudukannya sebagai sebahagian daripada pekan Bachok yang menjadi pusat pentadbiran bagi jajahan (daerah) Bachok. 
 
Sebab itu Pantai Irama juga dikenali di kalangan penduduk Kelantan sebagai Pantai Bachok. Bachok kini dikenali Bandar Pelancongan Islam.

Lokasi Pantai Irama yang menjadi sebahagian daripada pekan Bachok memberi banyak keistimewaan kepada Pantai Irama, terutama dari segi kemudahan awam.  
 
 Bagaimanapun, pengunjung di Pantai Irama tidak terganggu dengan aktiviti atau kesibukan di pekan. Tambahan, pekan Bachok tidak sibuk sangat.

Kedudukan Pantai Irama yang menjadi sebahagian daripada laluan altenatif penduduk Kota Bharu menuju ke Terengganu, dijadikan persinggahan sementera sebelum meneruskan perjalanan. 

Pantai Irama memanjang kira-kira satu kilometer. Kawasan yang agak luas ini memberi banyak kelebihan untuk pengunjung memilih tempat yang sesuai dengan citarasa masing-masing. 

Suasana dan pemandangan di Pantai Irama amat menarik dengan dihiasi dengan pokok rhu, pokok kelapa, pokok ketapang dan pokok hiasan lain. 
 
Di situ juga terdapat taman permainan kanak-kanak yang lebih selesa dan selamat untuk kanak-kanak bermain berbanding di pantai. 

Pengunjung ke Pantai Irama juga mudah untuk menjamu selera sama ada di gerai berhampiran kawasan pantai, maupun di tampat-tempat lain di pekan Bachok. 
 
Restoran dan gerai di Pantai Irama terkenal menyediakan hidangan laut yang segar dan harga agak murah memandangkan jajahan Bachok adalah pengeluar hasil laut terkenal di Kelantan.

Pantai Irama di Bachok semakin terkenal mengambilalih populariti Pantai Cahaya Bulan sebagai pantai peranginan paling menarik pengunjung di Kelantan.  
 
 Bagaimanapun, Pantai Irama belum terkenal di kalangan pelancong luar memandangkan kurang promosi di media massa. Pelancong luar lebih mengenai Pantai Cahaya Bulan yang mendapat promosi meluas. 

Pengunjung di kalangan penduduk Kelantan beralih ke Pantai Irama bukan semata-mata kerana Pantai Cahaya Bulan kini semakin mengalami hakisan pantai, tetapi Pantai Irama telah mengalami perubahan yang nampak lebih menarik dan sesuai dikunjungi.

Perubahan ini bukan setakat di kawasan pantai, tetap turut disokong apa yang gambaran keseluruhan jajahan (daerah) Bachok yang semakin pesat membangun.

Pantai-pantai di jajahan Bachok banyak dibangunkan sebagai pantai peranginan. Berpuluh pengusaha resort, chalet dan tapak perkhemahan wujud di Bachok. Ini sekaligus turut memperkenalkan nama Pantai Irama. 

Selain itu, jaringan jalan raya yang diperelokkan memberi keselesaan kepada pengunjung. Pengunjung merasa selesa memandu menuju ke Pantai Irama biarpun kedudukankan lebih jauh berbanding Pantai Cahaya Bulan dari Kota Bharu. 

Kawasan Bachok juga semakin terkenal sebagai medan ikan bakar, sesuai dengan jajahan tersebut yang menjadi pengeluar ikan segar terbesar di Kelantan. 

Perubahan yang berlaku di Pantai Irama khasnya dan Bachok amnya membawa kesejahteraan kepada penduduknya dan pembangunan Kelantan secara keseluruhannya. 

No comments:

Post a Comment