Sejarah Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970. Rukun Negara diperkenalkan oleh
Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969.
Rukun Negara bertujuan untuk membentuk perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat. Diharapkan kefahaman dan pengamalan prinsip Rukun Negara akan menghalang berulang peristiwa seperti 13 Mei yang
menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.
Rukun Negara
Rukun Negara
Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
Mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh
masyarakatnya;
Memelihara satu cara hidup demokratik;
Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran
negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi
kebudayannya yang kaya dan berbagai-bagai corak;
Membina satu masyarakat prograsif yang akan menggunakan
sains dan teknologi moden;
Maka Kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan
seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan
atas prinsip-prinsip yang berikut:-
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada raja dan negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan undang-undang
Kesopanan dan kesusilaan.
Penjelasan fasal Rukun
Negara secara ringkas:
Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan
yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama yang betul akan
menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat.
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah
agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan-kepercayaan lain boleh
diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan
dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama
adalah dilarang sama sekali.
Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan
pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia.
Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu
bangsa dan negara.
Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota
masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih
sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara.
Kesetiaan kepada raja dan
negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua
Negara.
Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja
mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang
Di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda,
Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap
warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan
taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa
mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Keluhuran Perlembagaan
Prinsip ini menekankan perlunya rakyat menerima, mematuhi
dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan
Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi.
Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat
negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara.
Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati,
menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah
pembentukan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan
semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu
kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh
mana-mana individu atau mana-mana pihak.
Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan
sosio-ekonomi rakyat di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal
yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak
sosio-ekonomi rakyat.
Kedaulatan undang-undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana
setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara.
Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia.
Undang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. Oleh itu kedaulatannya
perlu diterima dan dipertahankan.
Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara
tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh
institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang
untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur.
Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota
masyarakat dapat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di
mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat. Hak-hak semua rakyat boleh
diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta
perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.
Kesopanan dan kesusilaan.
Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan
tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara
yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai
Murni yang dijalankan sekarang.
Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah
paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama
lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi
membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral
tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.
Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau
perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu
golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang
tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara.
Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat
sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan
nilai-nilai murni.
No comments:
Post a Comment