Wednesday, 6 August 2025

CADANGAN BINA LEBUH RAYA PANTAI BARAT BAHAGIAN SELATAN

 
Kajian kelayakan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bahagian selatan sepanjang 230 kilometer dari Banting ke Gelang Patah dijangka siap pada 16 Disember 2025.
 
Laluan ini melibatkan empat negeri dan merangkumi 11 daerah serta 14 pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Batu Pahat, Muar, Johor Bahru, Pontian, Tangkak, Port Dickson, Masjid Tanha dan Bandaraya Melaka.
 
Ia dirancang sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi mengurangkan kesesakan trafik, khususnya musim perayaan.
 
Cadangan lanjutan WCE ke selatan tanah air, dibentangkan dalam Belanjawan 2025 menekankan kepentingan projek infrastruktur dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
 
Lebuh raya PLUS setiap hari semakin sesak, terutama pada hujung minggu, cuti perayaan, cuti umum dan juga cuti sekolah.
 
Dengan laluan alternatif ini, kesesakan lalu lintas di PLUS dapat dikurangkan, WCE Selatan mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas kritikal, yang akan membawa kepada aliran trafik lebih lancar dan pengalaman perjalanan lebih baik kepada pengguna.
 
Ini bukan sahaja akan menjimatkan masa perjalanan, tetapi juga mengurangkan tekanan ke atas infrastruktur sedia ada.
 
Projek ini juga akan meningkatkan kesalinghubungan antara bandar di sepanjang Pantai Barat dari Banting hingga ke Gelang Patah. Ini akan memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan serta meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan dan pendidikan bagi penduduk di kawasan luar bandar.
 
Selain itu, ia juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan wilayah. WCE Selatan yang bakal menjadi laluan alternatif kepada jalan persekutuan dan jalan negeri menghubungkan beberapa bandar utama ini di sepanjang Pantai Barat Semenanjung, akan merangsang aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan, terutama dalam sektor pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perdagangan.
 
Kewujudan lebuh raya ini akan melengkap laluan ke beberapa projek mega dirancang pihak swasta berhampiran jajaran WCE Selatan ini. Ia akan mengurangkan tekanan dan kesesakan lalu lintas di jalan persekutuan dan jalan negeri ketika pembinaan projek mega ini.
 
Projek itu ialah pelabuhan kontena pintar yang akan dibina di Pasir Panjang, Port Dickson. Projek swasta bernilai RM2 bilion adalah kerjasama antara Midports Holding Sdn Bhd dengan syarikat kerajaan Negeri Sembilan, Menteri Besar Incorporated (MBI).
 
Begitu juga Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Kuala Sungai Linggi, Melaka yang bakal menjadi hab perindustrian global hijau untuk sumber tenaga, pelabuhan dan perkhidmatan maritim.
 
Projek Maharani Energy Gateway (MEG) di Muar pula ialah hab tenaga dan pelabuhan laut dalam meliputi kawasan tiga pulau buatan seluas 1.295 hektar di pesisir pantai di daerah itu dijangka menawarkan 45,000 peluang pekerjaan.

No comments:

Post a Comment