Tuesday 16 May 2023

BERTAUBAT MESTI BERSUNGGUH-SUNGGUH

 
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah at Taubah, ayat 118)
 
Ayat ini menceritakan penerimaan taubat dari 3 orang sahabat Nabi yang tidak menyertai ekspedisi peperangan Tabuk pada tahun 10 Hijrah.
 
Peperangan Tabuk adalah peperangan terakhir dalam hidup Nabi SAW dan merupakan peperangan yang sangat besar dengan bilangan tentera Islam melebihi 20 ribu orang untuk melawan bala tentera Rom di wilayah utara (Tabuk) berjumlah ratusan ribu orang.
 
Kaab bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Murarah bin Ar Rabi merupakan 3 orang sahabat yang dimaksudkan dalam ayat di atas. Ketika itu cuaca sangat panas, manakala buah-buah tamar hampir masak menunggu masa untuk dipetik.
 
Peperangan Tabuk akhirnya tidak berlaku kerana bala tentera Rom telah berundur sebelum berlakunya peperangan. Sekembalinya Nabi ke Madinah, Kaab bin Malik dan dua orang lagi telah diboikot atau dipulau oleh Nabi SAW.
 
Tiada siapa mempedulikannya. Ucapan salam darinya tidak dijawab, bahkan orang ramai mengelak dari bertemu dengannya.
 
Pemulauan ini berlangsung hampir 2 bulan. Sepanjang tempoh itu Kaab menanggung tekanan yang sangat berat. Dia mengikat dirinya dengan tali di tiang masjid untuk menyatakan taubatnya secara bersungguh-sungguh. 

Dunia yang luas terasa sangat sempit. Dalam keadaan sebegitu, sampai kepadanya sepucuk surat dari Raja Najran yang beragama Nasrani, memujuknya menganut agama Nasrani. Kaab bertindak membakar surat tersebut.
 
Akhirnya turunlah ayat ini menyatakan bahawa taubatnya diterima. Dia sungguh gembira dan merasakan dirinya seperti baru dilahirkan.
 
Kaab tidaklah melakukan kesalahan membunuh, bukan juga mencuri atau tidak juga berzina. Kesalahannya ialah tidak menyertai peperangan Tabuk bersama para sahabat lain.
 
Justeru apabila kita terjebak dalam perbuatan dosa segeralah bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Tiada siapa pun dapat melarikan diri daripada Allah dan hukuman-Nya. Kembalilah kepada Allah dengan bertaubat.
 
Dalam satu kejadian lain, seorang wanita dari Qabilah Ghamidiyah telah dihukum rejam kerana berzina. Dia datang kepada Nabi dan mengaku kesalahannya. Selepas melahirkan anak dan berakhir tempoh penyusuan anaknya, dia dihukum rejam hingga mati. Kemudian jenazahnya disolatkan oleh Nabi. 

Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! engkau solatkan jenazahnya pada hal dia telah berzina?
 
Jawab baginda: “Sesungguhnya dia telah bertaubat dengan taubat yang kalau dibahagikan kepada 70 orang penduduk Madinah nescaya taubatnya lebih luas lagi. Adakah kamu mendapati taubat yang lebih utama daripad orang yang bersungguh-sungguh menyerahkan dirinya kepada Allah?”

No comments:

Post a Comment