Apakah
ciri-ciri pemimpin yang perlu ditaati? Mungkin persoalan ini yang sering
berlegar di fikiran setiap umat Islam yang umumnya berpegang kepada ajaran Ahli
Sunnah wal-Jamaah. Maka pelbagai tafsiran akan diberikan terutama daripada
pemimpin parti politik.
Persoalan ini juga akan digunakan sepenuhnya untuk
dijadikan propaganda bagi menarik perhatian rakyat menyokong mereka dengan
memberikan gambaran mengelirukan tanpa memikirkan kesan buruk yang semakin
menimpa umat Islam.
Sekarang amat jelas kesan perpecahan di kalangan umat
Islam sehingga hilang suara majoriti dan terpaksa tunduk kepada tuntutan orang
lain. Ini semua disebabkan kita terlupa kepada al-Quran dan sunah Rasulullah
SAW, apabila meletakkan kepentingan dan cita-cita politik di tempat yang lebih
tinggi.
Pendirian dan sikap Ahli Sunnah wal-Jamaah yang sebenar
menyatakan wajibnya taat kepada pemimpin, penguasa dan mereka yang menguruskan
urusan kaum Muslimin. Haram mengkhianati mereka terutamanya dalam urusan zakat,
jihad, memerangi kesesatan dan kekufuran.
Wajib bersolat di belakang mereka dan dibelakang
orang-orang yang menjadi wakilnya di masjid-masjid yang telah disediakan oleh
penguasa Islam. Amat keji perbuatan mereka yang menjadi pengacau, seperti
menghasut rakyat untuk mengkhianati pemerintah dalam hal-hal yang telah
disebutkan di atas.
Rasulullah SAW bersabda, "Akan berlaku selepas
peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak
mengikut sunahku dengan panduan sunahku. Akan muncul pula di kalangan kamu
orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (fasik). Aku (Huzaifah) bertanya:
Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya?"
Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat
kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas
harta-bendamu". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan kepada kita pemimpin negara ini
perlu ditaati walau apa sekali pun. Mentaati pemimpin menjadi sebahagian agenda
penting dalam memperkasakan Islam.
Namun, jika kerajaan sudah tidak mampu untuk menegakkan
amalan dan peraturan untuk mempertahankan Islam, maka wajib ditukar kerajaan
itu melalui sistem demokrasi.
Kerajaan Islam mesti mengutamakan kepentingan umat Islam,
tanpa mengabaikan tugas kepada rakyat agama lain. Aturan berkaitan Islam perlu
diutamakan, berbanding memenuhi kehendak agama lain yang lebih bersikap
mencemuh dan membenci peraturan berkaitan Islam.
Undang-undang syariah adalah untuk orang Islam dan tidak
dikenakan terhadap bukan Islam. Jadi, mengapa bukan Islam ingin membantah
apa-apa peraturan yang melibatkan orang Islam? Mereka tidak perlu menjadi jaguh
kononnya ingin memperjuangkan atas dasar hak kebebasan.
Terdapat pemimpin yang beragama Islam terikut-ikut dengan
fahaman liberalisme dan pluralisme. Mereka menyokong tuntutan bukan Islam
kerana ingin mendapat kuasa dan kekal berkuasa. Mereka inilah sebenarnya yang
telah dikuasai bukan Islam dan menjadi sebahagian boneka pihak musuh
Islam.
No comments:
Post a Comment