Saturday 14 November 2020

ANGKATAN TENTERA MALAYSIA TERIMA HELIKOPTER TEMPUR

 
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka menerima enam helikopter jenis MD530G secara berperingkat mulai Jun tahun depan. 
 
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu satu pasukan telah berlepas ke Amerika Syarikat bagi membuat ujian penilaian helikopter berkenaan sebelum ia dipersijilkan sebagai aset ATM," kata beliau selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara Bernama TV : "Belanjawan 2021 : Memperkasa Pertahanan", pada 13 November 2020. 
 
"Ujian penilaian bermaksud helikopter berkenaan perlu dibuat penilaian dari segi sama ada sesuai untuk dijadikan aset ATM atau sebaliknya,” jelas Ismail Sabri. 
 
Sedikit maklumat mengenai helikopter MD530G. Ia adalah helikopter tempur ringan buatan syarikat Mcdonnell Douglas, Amerika Syarikat. 
 
Penggunaan helikopter itu secara tidak langsung akan memantapkan lagi sistem operasi keselamatan sempadan negara terutama di Sabah. 
 
Helikopter MD530G adalah merupakan versi terkini daripada siri helikopter MD500 Defender dan secara asasnya menggunakan rekabentuk, enjin dan sistem transmisi yang sama seperti MD530F versi awam tetapi telah diubahsuai untuk mempertingkatkan lagi keupayaan untuk membawa bebanan persenjataan dan prestasinya. 
 
Helikopter ini direka agar mempunyai prestasi yang tinggi dalam suasana dan keadaan cuaca yang mencabar. Ia juga mampu untuk memberi bantuan tembakan bagi menekan musuh serta dilengkapi dengan keupayaan untuk melakukan serangan surgikal. 
 
Bebanan sistem persenjataan yang mampu dibawa serta sistem avioniknya membolehkan helikopter MD530 memikul tugas sebagai helikopter peninjau mahupun helikopter tempur. 
 
Pada sekilas pandang, komponen pertama yang jelas berbeza dan tiada pada helikopter MD500 Defender yang lain adalah sepasang sayap kecil yang dipasang pada kiri dan kanan badan helikopter. 
 
Sayap ini dikenali sebagai Extended Range Weapon Wings (ER2W) atau Sayap Persenjataan Jangkauan Jauh. Sayap ini mempunyai dua fungsi utama iaitu bertindak sebagai stesen senjata dimana sehingga empat jenis sistem persenjataan boleh dipasang termasuklah roket pod, mesingan dan sebagainya. 
 
Fungsi kedua sayap ER2W adalah berfungsi sebagai tangki bahan api yang mampu bertaup sendiri di mana sehingga 132 liter bahan api mampu dimuatkan di dalam tangki. Ia mampu untuk memanjangkan lagi masa rondaan helikopter sehingga kira- kira 60 minit lagi. 
 
Walaupun sayap ER2W agak ringan iaitu hanya sekitar 45 kilogram, ia mempunyai kapasiti untuk menampung sehingga 890 kilogram bebanan persenjataan. 
 
Sayap ini juga hanya memerlukan masa 10 minit untuk dipasang atau ditanggalkan oleh dua orang krew, menjadikan MD530G berupaya untuk bertukar fungsi daripada helikopter tempur kepada utiliti mahupun peninjauan dengan pantas. 
 
Selain daripada itu, biarpun enjin Rolls Royce 250-C30 yang digunakan oleh MD530G adalah sama seperti enjin pada helikopter MD530F, tetapi enjin ini telah ditingkatkan lagi had torknya bagi membolehkan helikopter membawa bebanan yang lebih. 
 
Disamping itu skid pendarat helikopter MD530 adalah lebih besar dan diadaptasikan daripada skid pendarat helikopter MD600 Explorer bagi membolehkan ia menanggung bebanan yang yang lebih. 
 
Kokpit helikopter juga telah diubah susunannya dan menggunakan sistem glass cockpit dengan dua paparan Garmin G500H dan sebuah paparan pelbagai fungsi untuk pengimejan sasaran dan status persenjataan. 
 
Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, helikopter MD530G dipacu oleh sebuah enjin turbin jenis Rolls Royce 250-C30 berkekuatan 650shp lengkap dengan kawalan sistem FADEC. Ia berupaya untuk memacu helikopter sehingga ke kelajuan 282km/j. 
 
Helikopter ini juga memiliki jangkauan operasi sejauh 519 kilometer dan mampu meronda sehingga 180 minit di udara. Jangkauan operasinya boleh dipertingkatkan lagi dengan membawa tangki bahan api tambahan. Bebanan maksimum keseluruhan yang boleh dibawa oleh MD530G adalah sekitar 816 kilogram. 
 
Biarpun saiznya yang kecil, helikopter MD530G tidak harus dipandang ringan. Ibarat pepatah melayu, 'Kecil- kecil cili padi', helikopter ini mampu membawa sehingga 862 kilogram bebanan persenjataan yang terdiri daripada kombinasi mesingan, pod mesingan berat dan pod roket. 
 
Sistem persenjataan yang dipasang pada helikopter tersebut adalah dua laras mesingan gatling M134H-D "Mini-Gun" dan dua pod gabungan mesingan berat berkaliber 12.7mm dan roket 70mm FN Herstal RMP. 
 
Apa yang menarik, MD530G mampu untuk melancarkan roket berkaliber 70mm biasa ataupun roket TALON keluaran firma Raytheon yang menggunakan panduan laser- sesuai untuk serangan surgikal yang tidak memerlukan letupan yang besar. 
 
Di samping itu MD530G juga mampu untuk membawa peluru berpandu AGM-176 Griffin dan juga peluru berpandu AGM-114 Hellfire. Panduan laser untuk peluru berpandu panduan laser diberikan oleh kepala penderia MX-10D keluaran firma L3- Wescam. 
 
Seperti juga helikopter MD530G, biarpun kepala penderia ini bersaiz kecil tetapi ia memiliki sistem penstabil 4 axis yang bukan sahaja memberikan pengimejan yang jelas tetapi juga mampu untuk memancarkan laser ke sasaran melebihi 10 kilometer jauhnya dengan tepat. 
 
Di samping itu, MX-10D mampu untuk memberikan pengimejan infra merah, dalam keadaan cahaya yang malap dengan gambar bewarna beresolusi tinggi HD dan mampu memberikan keupayaan kepada jurutembak untuk melihat sasaran dengan jelas. 
 
Sistem persenjataan MD530G dikawal oleh Moog's Gen3 Weapon Stores Management System (WSMS) atau Sistem Pengurusan Persenjataan Gen3 Moog. Sistem WSMS terdiri daripada modul komputer kecil dan ringan yang bertindak sebagai otak dan jantung sistem tempur helikopter termasuklah menguruskan sistem komunikasi penting dan sistem bidikan. 
 
Jika dilihat daripada susur galur helikopter ini bermula daripada OH-6 Cayuse yang berkhidmat dengan cemerlang menentang insurgensi semasa perang Vietnam sehinggalah versi MD530F yang digunakan oleh Tentera Afghanistan, helikopter ini bukan sahaja telah digunakan untuk menentang insurgensi di banyak negara di seluruh dunia dalam keadaan iklim yang mencabar daripada hutan hujan tropika hinggalah kepada padang pasir. 
 
Ini adalah bukti keberkesanan dan kelasakan helikopter ini sehinggakan masih terus beroperasi di seluruh dunia dalam pelbagai versi. Oleh kerana pelbagai versi helikopter ini telah dan terus menjadi pilihan banyak negara- negara dunia ketiga, ia menunjukkan bahawa helikopter ini mudah untuk disenggara dan dikendalikan.

No comments:

Post a Comment