Saturday 15 August 2020

PENEMUAN KESAN TAPAK KAKI DINOSAUR DI BUKIT PANAU

Pasukan penyelidik Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menemukan kesan tapak kaki dinosaur dipercayai daripada kumpulan spesies Sauropod berusia 145,000 tahun hingga 66 juta tahun di Bukit Panau, Tanah Merah.

Penemuan fosil tersebut adalah hasil kajian eksplorasi geosains pasukan penyelidik UMK yang diketuai pensyarah FSB, Arham Muchtar Achmad Bahar, Prof Surono Martosuwito, Prof Udi Hartono dan dibantu oleh Mohd Syakir Sulaiman.

Aktiviti dan penyelidikan itu bermula pada Mei 2017 dan berjaya menemukan fosil tapak dan laluan trek dinosaur dari subkumpulan Sauropod.

Penemuan ini membuktikan bahawa satu masa dahulu, dijangka antara 160 hingga 66 juta tahun yang lepas, dinosaur pernah hidup di lokasi yang sekarang kita kenal sebagai Tanah Merah, Kelantan.

Penemuan itu membabitkan tujuh tapak kaki fosil spesies Sauropod berukuran purata 72 sentimeter (sm) panjang dan lebar dengan purata 66sm yang tercetak di atas Batu Pasir Kuarsa dari Formasi Panau seluas 60 meter persegi.

Fosil Sauropod yang ditemukan itu dipercayai berusia antara 65 hingga 160 juta tahun lepas iaitu pada kala Jura akhir sehingga Kapur awal dan ia adalah sejenis reptilia berkaki empat daripada spesies herbivor iaitu hidupan yang memakan tumbuh-tumbuhan.

Berdasarkan bukti tapak kaki haiwan ini dahulu memiliki tubuh yang besar dengan tulang belakang setinggi sembilan meter, panjang sehingga 22 meter dan berat sekitar 30 sehingga 40 tan. Spesies dinosaur ini juga dikenali sebagai haiwan terbesar yang pernah hidup di muka bumi ini.


No comments:

Post a Comment