Wednesday 11 July 2018

REMAJA PEREMPUAN PERLU LEBIH BIMBINGAN

 
Kehidupan remaja penuh pancaroba. Biarpun fenomena ini melibatkan remaja lelaki dan perempuan, namun perhatian lebih menjurus kepada remaja perempuan.  
 
Tanggapan negatif masyarakat terhadap remaja perempuan bukan satu diskriminasi jantina, tetapi memberi satu gambaran bahawa kesan buruk tindakan lebih jelas ditanggung oleh remaja perempuan.
 
Umpamanya, dalam kes seks bebas atau zina, biarpun kedua-dua pihak iaitu lelaki dan perempuan sama-sama melakukan dosa, tetapi kesan buruk ketara ditanggung oleh remaja perempuan jika mengandung anak zina. Banyak pihak lelaki lepas tangan dan tidak mengaku terlibat melakukan perbuatan itu.
 
Justeru, remaja perempuan perlu diberi bimbingan dan perhatian lebih agar tidak terjebak dalam kancah kehidupan negatif. Biarpun tugas mendidik terletak di bahu ibu bapa, tanggungjawab itu juga harus dipikul oleh anggota masyarakat.
 
Kursus dan program berkaitan mendedahkan remaja kepada cara hidup sihat, meningkatkan kesejahteraan hidup dan memahami ancaman berkaitan penyakit dan sosial perlu diadakan lebih menyeluruh.
 
Remaja perempuan perlu mendapat perhatian lebih dari pada ibu bapa, keluarga dan masyarakat. Istilah jangan jaga tepi kain orang tidak boleh dipraktikkan. Jika ada remaja terlibat dalam aktiviti tidak baik, ia perlu dicegah segera, termasuk melibatkan jiran, rakan dan pemimpin setempat.
 
Ibu bapa tidak mengetahui anak mereka melakukan perbuatan negatif di luar rumah disebabkan tidak ada pihak yang memberitahu atau melapor kepada ibu bapa gadis berkenaan.
 
Ibu bapa pula mestilah bersikap terbuka tidak menyalahkan pihak yang membuat pengaduan itu. Mereka sepatutnya berterima kasih dan menyelidik kebenarannya sebelum bertindak.
 
Banyak remaja terlibat dalam aktiviti tidak sihat disebabkan tidak mengetahui kesan buruk yang bakal dihadapi akibat perbuatan itu.
 
Apabila telah terlibat dengan perkara buruk, maruah diri dan keluarga tercemar. Lebih buruk lagi jika mereka melakukan tindakan yang lebih buruk akibat tidak tahan dengan cacian atau menaggung malu.
 
Aspek pengetahuan agama serta berkaitan jati diri, maruah, hubungan sosial dan nilai moral perlu diajar atau didedahkan kepada remaja.  
 
Kehidupan sekarang penuh dengan tipu daya yang mana siapa yang jahil akan menjadi mangsa kepada pihak yang mengambil kesempatan atas kejahilan itu.
 
Biarpun remaja sekarang dianggap lebih matang berbanding remaja dahulu, namun hakikatnya masih ramai yang jahil mengenai ‘rahsia’ diri sendiri. Masih ramai remaja perempuan tidak mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam pergaulan dengan lelaki.
 
Perkara ini terjadi disebabkan kecetekan ilmu agama, nilai-nilai moral dan terpengaruh dengan apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Sesuatu yang amat menyedihkan apabila ada kelompok remaja yang begitu bebas dalam pergaulan sehingga menjadikan soal seks sebagai perkara mainan saja.
 
Memang amat menyedihkan ada kumpulan remaja perempuan berbangga dirinya tidak lagi dara dan sebaliknya akan dikutuk oleh rakan-rakan jika dirinya masih dara.
 
Perkara itu tidak berlaku jika mereka mendapat didikan agama yang kuat dan mengamalkan nilai-nilai moral yang murni sesuai dengan tradisi masyarakat Melayu.

No comments:

Post a Comment