Monday, 20 November 2017

SIKAP SOMBONG BAWA PADAH


Sikap iblis yang sombong enggan sujud kepada Adam seperti diperintahkan telah menyebabkan dia tergolong hamba yang ingkar dan terkutuk sepanjang hayat. 

Hal ini dijelaskan Allah dalam firman bermaksud: “Keluarlah kau dari sini.  Kau orang yang terkutuk.  Kau akan Aku kutuk terus sampai hari pembalasan.” (Surah Shad, ayat 77 - 78).

Iblis yang angkuh sanggup menerima segala pembalasan itu.  Dendamnya terhadap Adam amat kuat.  Lantas, iblis memohon kepada Allah agar dirinya dipanjangkan usia sehingga hari kiamat bertujuan untuk menyesatkan Adam dan seluruh cucu cicit Adam. 

Firman Allah bermaksud: “Panjangkanlah umurku sampai hari mereka dibangkitkan.” Lalu Allah menjawab: “Sesungguhnya engkau termasuk antara mereka yang dipanjangkan umurnya.” (Surah al-Araf, ayat 14 - 15).

Sebagai hukuman terhadap sikap tersebut, iblis dihalau dari syurga.  Sedangkan Adam (kemudiannya diciptakan Allah kepadanya Hawa sebagai pasangan) mendiami syurga dengan penuh nikmat.  Kedua-duanya bebas makan apa diingini, melainkan sejenis buah dilarang.

Iblis menyedari larangan Allah terhadap Adam dan Hawa daripada memakan buah terlarang itu.  Maka, iblis sedaya mungkin menggunakan tipu daya agar Adam dan Hawa memakannya.  Iblis ingin menimbulkan kemurkaan Allah terhadap Adam dan agar dikeluarkan dari nikmat syurga.  

Kejayaan pertama iblis tercapai apabila Adam dan Hawa terpedaya memakan buah terlarang itu.  Firman Allah bermaksud: “Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan keduanya dikeluarkan dari tempat berada ketika itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 36).

Namun, kemurkaan Allah dan mengeluarkan Adam serta Hawa dari syurga satu hikmah.  Peristiwa itu adalah permulaan sebenar kehidupan sebagai khalifah di muka bumi.  Adam dan Hawa menghadapi cabaran hidup di dunia.  Pada permulaannya, kedua-duanya diturunkan ke dunia di tempat yang berbeza.  Mereka melalui tempoh agak panjang sebelum ditemukan kembali.

Dendam iblis terhadap Adam tidak puas.  Niat jahat iblis dan syaitan dijelaskan kepada manusia sebagai peringatan. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu.  Maka itu musuhilah dia, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongan yang terpedaya agar sama-sama menjadi penghuni neraka.” (Surah Fathir, ayat 6).

Syaitan menjanjikan kesesatan bagi sesiapa yang terpedaya dengan janji-janji kosongnya.  Syaitan melakukan tipu daya, dan hanya orang yang lalai dengan kehidupan dunia akan mudah tertipu menjadi pengikut syaitan.

Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya!  Aku akan mengambil daripada hamba-Mu bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku).  Dan demi sesungguhnya!  Aku akan menyesatkan mereka dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong.  Aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternakan), lalu mereka membelah telinga binatang itu, dan sesungguhnya aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Ingatlah, sesiapa yang mengambil syaitan sebagai pemimpin yang ditaati selain Allah, maka sesungguhnya dia dalam kerugian yang nyata.” (Surah an-Nisa, ayat 118 - 119).

No comments:

Post a Comment