Tuesday 29 November 2016

USAHA MUDUH HANCURKAN ISLAM

Umat Islam dilabel Barat sebagai pengganas dan ekstrimes dalam usaha menghapus kebangkitan umat Islam dan menakluk negeri kaum muslimin. Mereka ‘mencipta’ beberapa kejadian dan mencari ‘kambing hitam’ untuk dijadikan korban. Setelah itu, mereka memaksa dunia menerima bahawa mereka akan menyelamatkan dunia dari ancaman pengganas ini.

Selain digelar pengganas, banyak cap lain yang digunakan oleh Barat terhadap umat Islam dan perkara ini telah lama dilakukan oleh mereka.

Barat melabelkan umat Islam sebagai fundamentalis, ekstremis, moderate dan sebagainya dan istilah-istilah ini telah dipropagandakan oleh mereka agar diterima pakai di seluruh dunia.

Oleh itu, adalah suatu perkara biasa apabila istilah-istilah ini digunakan oleh sesiapapun dari kalangan umat Islam, baik dari kalangan rakyat mahupun pemimpin.

Semenjak Rasulullah SAW berjaya menzahirkan Islam di atas segala agama lain, kejayaan ini diteruskan pula dengan gilang-gemilang oleh para khalifah sesudah baginda.

Kekuatan Negara Khilafah Umayyah, Khilafah Abbasiyyah dan Khilafah Uthmaniyyah memang tiada tolok bandingnya sehingga seluruh penjuru dunia mengetahui dan mengakui bahawa kekuatan Islam adalah kekuatan yang tidak mungkin dikalahkan.

Golongan kuffar cuba untuk mengalahkan Islam dengan peperangan fizikal selama ratusan tahun, namun apa yang mereka perolehi hanyalah kekalahan demi kekalahan.

Setelah menyedari bahawa peperangan fizikal tidak membuahkan hasil, maka golongan kuffar ini telah beralih kepada peperangan baru yang lebih dahsyat yakni peperangan pemikiran atau serangan pemikiran.

Perang ini sebenarnya jauh lebih berbahaya kerana ia dirangka untuk merosakkan aqidah kaum muslimin dan menghapuskan syariat Islam dari dalam.

Melalui perang pemikiran ini jugalah Daulah Khilafah Uthmaniyyah yang begitu besar dan kuat telah berjaya dihancurkan.

Racun assabiyyah dan wathaniyyah yang ditanam di dalam benak kaum muslimin telah menyebabkan mereka terpecah belah kepada negeri-negeri kecil berdasarkan bangsa (nation states).

Walaupun Daulah Khilafah telah berjaya dihancurkan, namun kebencian dan dendam mereka tidak berakhir di situ.

Perang pemikiran diteruskan dalam pelbagai bentuk dan cara. Ini dilakukan bagi memastikan kaum muslimin tetap di dalam perpecahan dan permusuhan dan agama Allah ini tidak akan kembali diamalkan oleh umat Islam.

Mereka juga berusaha bagi memastikan agar Daulah Khilafah tidak akan muncul lagi. Mereka merancang dan melaksanakan perang baru ini dengan penuh sabar dan berhati-hati.

Mereka mengambil masa yang lama menanam fahaman yang menjerat umat Islam mengikut kehendak mereka. 

Mereka telah menggunakan segala sarana yang ada untuk memastikan kejayaan mereka di dalam peperangan ini. Hari ini, kita dapat saksikan bahawa perang ini telah membuahkan hasil yang lumayan bagi kaum kuffar.

Umat Islam hari ini bertelagah sesama sendiri dalam hal agama, berpecah dan membenci antara satu sama lain. Para pemimpin mereka pula berjaya dipengaruhi untuk menggunakan kuasa yang ada bagi memerangi dan memusuhi Islam serta umatnya.

Kita mengetahui bahawa buat masa ini Amerika Syarikat menguasai dunia dengan sejumlah jaringan informasi raksasa yang mereka miliki.

Dengan kekuatan ini, mereka berjaya mengawal dunia dan mengarahkan jaringan informasi negara-negara lain agar berkiblat kepada mereka.

Tujuannya adalah agar umat Islam tidak mendengar, kecuali apa yang disiarkan oleh mereka; tidak menonton, kecuali apa yang mereka tayangkan; tidak membaca, kecuali apa yang mereka tulis; tidak berbicara kecuali apa yang mereka bicarakan; tidak mengikut, kecuali apa yang mereka arahkan dan tidak berfikir, kecuali menurut sebagaimana yang mereka inginkan.

Terhadap Islam, AS menginginkan agar kita memahaminya dengan cara berfikir mereka. Oleh itu, jika ada orang yang menyimpang dari cara pandang mereka, maka AS akan segera menggerakkan media massanya untuk menyerang.

Mereka akan menggambarkan orang tersebut sebagai berlawanan dengan Hak Asasi Manusia, tidak demokratik, perosak perpaduan, pengacau keamanan dan sebagainya.

Mereka akan menyatakan kepada dunia bahawa ini adalah golongan ekstremis, fundamentalis, terroris, radikal dan merbahaya.

Istilah-istilah sebegini direka dan dimanipulasi oleh AS untuk membawa satu konotasi yang negatif dan buruk.

Merekalah yang mula-mula mencipta istilah-istilah ini dan mereka berjaya memaksa dunia menerima makna-makna istilah ini sebagaimana makna yang dimaksudkan oleh mereka.

Mana-mana orang yang tidak berfikir cara Barat, mana-mana orang yang tidak sehaluan dengan Barat dan mana-mana orang yang ingin mengamalkan ajaran Islam, tetapi tidak sesuai dengan kehendak Barat, maka golongan ini akan dicap sebagai ‘ekstremis’.

Pada masa yang sama, Barat mempropagandakan istilah ‘moderate’ (sederhana) dan meracuni pemikiran umat Islam bahawa kelompok Islam yang ‘baik’ adalah kelompok moderate (sesuai dengan kehendak Barat).

Mereka mengheret dunia agar bersetuju dengan mereka melalui istilah-istilah yang dilontarkan.

Sesungguhnya cap-cap sebegini dilontarkan oleh Barat kepada umat Islam, agar kita mentafsirkannya mengikut tafsiran mereka.

Malangnya sekarang ini, bukan sahaja Barat, kita juga melihat bahawa gelaran  ini telah dilontarkan pula oleh sesetengah kaum Muslimin termasuk para pemimpin, kepada umat Islam, dengan konotasi yang sama.

Jika suatu waktu dahulu, di zaman kebebasan individu mula melanda negeri dan tubuh umat Islam, mana-mana perempuan yang memakai tudung labuh akan dianggap sebagai ekstrem. Sesiapa sahaja yang berjubah dan berserban juga dianggap sebagai ekstremis agama.

Ringkasnya, sesiapa sahaja yang cuba berpegang teguh dengan ajaran agama akan dilabelkan sebagai pelampau.

Golongan yang tidak ekstrem adalah mereka yang tidak bertudung, minum arak, pergi ke pub-pub atau kelab malam, bercampuran lelaki dan wanita (bersosial) dan seumpamanya.

Sesunguhnya semua ini adalah manifestasi dari racun kuffar Barat yang telah menular di dalam pemikiran kita agar kita bermusuhan antara satu sama lain serta membenci dan memerangi sesama kita.

Sebagaimana kita maklum, kuffar Barat adalah golongan yang benar-benar berpegang kepada sekularisme.

Mereka membunuh, memerangi dan menjajah kita dan menerapkan sistem kufur mereka ke atas kita atas nama sekularisme.

Dengan kata lain, kuffar Barat adalah golongan yang benar-benar berpegang teguh dengan fahaman sekular mereka.

Wahai kaum Muslimin! Kita bersaudara. Kita adalah satu kesatuan. Haram untuk kita berpecah belah dan bermusuhan. Musuh kita adalah mereka yang menolak Allah dan RasulNya, bukan sesama kita.

No comments:

Post a Comment