RUU Jenayah Siber 2026. Dewan Rakyat pada 1 Julai 2026 telah
meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026. RUU ini akan
memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] dengan tujuan untuk
memperkukuh secara komprehensif keupayaan negara dalam membendung ancaman serta
kesalahan jenayah siber yang kian sofistikated dan berskala global.
Sesi Perbahasan RUU Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat yang
telah diadakan pada 1 Julai 2026 melibatkan sejumlah 48 Ahli-ahli Dewan Rakyat
dan antara perkara yang telah dibangkitkan adalah mengenai jaminan hak asasi,
hak privasi, semak dan imbang, kebebasan bersuara dan skop RUU.
Perkara lain turut disentuh adalah berkaitan kecerdasan buatan
(artificial intelligence - AI) dan teknologi memuncul, perlindungan mangsa,
wanita, kanak-kanak dan warga emas, penguatkuasaan bersepadu dan keupayaan
negara, hukuman, pencegahan dan literasi siber serta MyDigital ID.
Pendirian Kerajaan bahawa penggubalan RUU Jenayah Siber 2026
ini adalah sebagai bukti dan terjemahan komitmen Kerajaan untuk membina ruang
siber yang lebih berdaya tahan dan dipercayai.
Pada masa yang sama, RUU Jenayah Siber 2026 ini akan
melengkapkan kerangka perundangan sedia ada negara selaras dengan obligasi di
bawah Council of Europe Convention on Cybercrime (Konvensyen Budapest) dan
United Nations Convention Against Cybercrime (Konvensyen UN).

No comments:
Post a Comment