Tuesday, 29 November 2016

SIAPA LAYAK DIGELAR PEJUANG ISLAM

Islam tetap satu. Perjuangan Islam demi untuk mendapat keredaan Allah. Malangnya, orang Islam selalu berpecah. Kawan rapat bertukar umpama musuh apabila berlainan parti. Sebab itu Islam lemah dan dihina.

Di manakah perjuangan Islam jika berpecah dan tidak mesra. Berbeza pandangan politik tidak seharusnya menjadi faktor perpecahan. Sepatutnya kita lebih bersungguh-sungguh untuk berjuang menegakkan Islam.

Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan; dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal mengenali antara satu sama lain. Yang lebih mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa.” – (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Justeru itu tiada individu, kumpulan atau bangsa boleh mengaku lebih mulia dan berkuasa berbanding yang lain. 

Biapun dari bangsa berkuasa, warna kulit menarik, keturunan berdarjat, mewah dengan kekayaan dan ditakuti pihak lain, itu semuanya tiada bezanya di sisi Allah.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Allah hanya melihat kepada hati dan amalan kamu.” - (Hadis riwayat Bukhari).

Islam melarang sebarang perpecahan, biarpun nampak kecil. Perpecahan kecil yang tidak dikawal akan mengakibatkan perpecahan lebih serius. Justeru itu, jangan memandang mudah kepada bibit-bibit perpecahan. 

Sebab itu Islam mengharamkan perbuatan berselisih faham, biarpun sekadar tidak bertegur sapa atau memalingkan muka melebihi tiga hari. 

Had tiga hari itu memberi peluang kepada individu yang berselisih faham memikirkan kesannya, mententeramkan fikiran dan mencari titik penyelesaian. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak halal bagi Muslim meninggalkan saudara Muslim yang lain lebih dari tiga hari, (di mana) keduanya berjumpa lalu yang seorang memalingkan dirinya dari yang lain.” - (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim).

No comments:

Post a Comment