Apa hukum agih atau beri makan daging kroban
kepada bukan Islam? Pendapat umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan
daging korban tidak boleh diberi makan kepada bukan Islam. Namun, elok kita
melihat pendapat dikemukakan ulama mazhab lain dalam isu ini.
Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan
mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban kepada orang
Yahudi dan Nasara. Mazhab Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging
korban sunat kepada bukan Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib
kepada mereka.
Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus
memberi makan daging korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab
al-Majmu` disebutkan harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir
miskin ahli zimmah, tidak harus memberi mereka makan daging korban wajib.
Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan
bahawa Ibn al-Munzir menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan
kepada fakir miskin Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging
korban kepada fakir miskin kafir ahli zimmah.
Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka
memakannya. Abu Thur juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik
lebih suka ia diberi makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith
menganggapnya makruh, namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada
mereka berserta fakir miskin Islam.
Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh
al-Kabir dan al-Syarbini dalam al-Iqna' menyebutkan mazhab Maliki berpendapat
makruh menghadiahkan dan memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan
Nasrani.
Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat
harus memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging
korban sunat, tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.
Hukumnya sama dengan hukum zakat dan
kifarat sumpah. Mazhab Syafie pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan
memberi makan orang bukan Islam daging korban sunat atau wajib.
Ibh Hazmin daripada Mazhab Zahiriyah dalam
kitabnya al-Muhalla menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada
orang kaya dan orang bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.
Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang
boleh dibuat bahawa Mazhab Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban
sunat atau wajib kepada bukan Islam. Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi
makan daging korban sunat kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi
mereka makan daging korban wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti
hukum zakat.
Mazhab Hambali berpendapat harus
menghadiahkan daging korban sunat kepada orang bukan Islam dan haram
menghadiahkan kepada mereka daging korban wajib.
Semua ulama mazhab sepakat memberi atau
memberi makan daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram.
Ini bererti hanya ulama Mazhab Syafiie saja yang berpendapat daging korban
sunat atau wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan
Islam. Majoriti ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging
korban sunat, tidak harus jika korban wajib.
Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya
terdiri daripada penganut pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang
mengharuskan orang bukan Islam diberi atau diberi makan daging korban sunat
lebih baik diterima pakai.
Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada
masyarakat bukan Islam bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam
dan dapat memelihara perhubungan silang agama.
Di samping itu, menerima pakai pendapat
majoriti dapat memberi ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka
tidak berasa bersalah untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri
majlis kenduri mereka.
Persoalan ini berlaku kerana adanya
perbezaan pendapat ulama disebabkan tiada nas yang jelas. Oleh itu, ulama
berijtihad bagi menyelesaikan masalah ini. Hujah qias menjadi asas penghujahan.
Ia diqias kepada hukum memindahkan harta zakat ke tempat lain. Maka mereka
berpendapat boleh dan menambah lagi hujah dengan menggunakan hujah maqasid
syarak.
Dr Yusof Qardhawi berpendapat, jika
sesebuah negeri itu susah dan rakyat memerlukan daging, sembelihan itu lebih
baik di tempat itu. Jika negeri itu kaya dan banyak rakyatnya melakukan korban,
maka bersedekah wang yang dinilaikan dengan nilai binatang korban itu lebih
baik, kerana sedekah mesti diutamakan di tempat lebih memerlukannya.
Oleh itu, mengagihkan sembelihan korban di
tempat yang memerlukan lebih afdal dalam keadaan ini. Menurut buku fiqh,
keutamaan berdasarkan al-Quran dan sunnah mengatakan dalam memberi pertimbangan
kepada sesuatu kemaslahatan, umat Islam harus mendahulukan kepentingan yang
besar.
Maka berpegang kepada pendapat inilah,
banyak badan bukan kerajaan dan persatuan Islam mempromosikan ibadat korban
secara dalam talian bertujuan mengumpul wang untuk melaksanakan korban di
tempat umat Islam memerlukan bantuan.
Kita juga melihat bagaimana daging korban
dari Arab Saudi dihantar ke Afrika sejak sekian lama untuk orang fakir yang
jarang menjamah daging. Fatwa muftinya, Ben Baz mengatakan daging sembelihan
‘dam’ juga boleh dihantar ke Afrika yang sangat memerlukan.
Mengenai memberi daging korban kepada bukan
Islam, ada perbezaan pendapat antara ulama kerana ada yang membenarkan dan
sebaliknya. Mazhab Maliki menyatakan binatang korban makruh dijamu kepada orang
Yahudi dan Nasrani.
Mazhab Hambali berpendapat orang bukan
Islam harus dihadiahkan daging korban (yang bertaraf sunat) tetapi daging
korban wajib tidak harus dihadiahkan kepada mereka walau sedikit. Pendapat membolehkan
orang bukan Islam dihadiahkan juga mestilah untuk berdakwah di mana diharap
terbuka pintu hati kepada agama Allah ini.
Namun melihat kepada dalil mengenai
pengagihan daging korban, ia menjurus maksud yang umum. Firman Allah yang
bermaksud: “Makanlah sebahagiannya, dan beri makanlah orang yang tidak
meminta-minta dan orang yang meminta.” (Surah al-Hajj, ayat 36)
No comments:
Post a Comment