Tuesday 7 September 2021

BUAH MESTA BERBEZA DENGAN MANGGIS

 
Buah mesta atau nama saintifiknya Garcinia mangostana merupakan salah satu daripada varieti manggis. Sekali pandang, bentuk buah mesta seakan buah manggis. Warna dan isi buah mesta sama seperti buah manggis.

Namun, terdapat perbezaan bentuk di antara buah mesta dengan manggis. Buah mesta berbentuk tirus lonjong dan bahagian bawahnya agak tajam sedikit. Manakala buah manggis lebih bulat atau bulat dempak. Buah mesta juga mempunyai rasa yang lebih enak, manis dan lebih kering (kurang berjus).

Satu lagi perbezaan buah mesta ini ialah kebanyakkan orang berpendapat ia mempunyai sedikit getah jika dibandingkan dengan manggis biasa.

Buah mesta dipercayai berasal dari daerah Temerloh, Pahang dan kini telah dibiakkan sebagai sejenis tanaman buah komersil secara monokrop.

Buan mesta ini memang berbeza dengan buah manggis dari segi beberapa ciri marfologi dan sebagainya. Mesta agak berbeza dengan pokok manggis dari segi struktur buah, pokok, saiz dan beberapa ciri khusus lagi.

Pokok mesta lazimnya kecil sedikit dan rendah berbanding dengan pokok manggis bergantung kepada cara pengurusan. Terdapat banyak daun yang lebat dan ianya rimbun dengan saiz daun agak kecil sedikit jika dibandingkan dengan pokok manggis.

Jika dilihat isinya, mesta mempunyai susunan ulas yang hampir sekata di mana tidak ada yang berbiji besar seperti buah manggis. Lazimnya ia mempunyai 6 ulas isi berwarna putih bersih dengan rasa amat manis. Buah mesta mempunyai sedikit getah walau pun baharu dipetik.

Pokok mesta mengeluarkan hasil setelah empat tahun ditanam dan dijaga dengan baik. Ia boleh ditanam menggunakan biji benih atau benih cantum.

Perlu diingatkan, buah mesta tidak sama dengan buah ‘seto’ dalam dialek Kelantan. Buah seto adalah merujuk kepada buah manggis.

No comments:

Post a Comment