Wednesday 21 July 2021

GIGIH REBUT KURNIA TERSEDIA

 
Islam menggalakkan agar setiap muslim bekerja dengan gigih untuk merebut setiap kurniaan yang Allah sediakan di muka bumi ini.  
 
Sikap mudah berpuas hati dengan apa yang dimiliki menjadi penghalang kepada kejayaan umat Islam. Ia menjadi barah kepada kehidupan ummah sehingga membentuk satu gambaran bahawa umat Islam bersikap malas dan menolak kemajuan.    
 
Inilah yang menjadi punca mengapa dari satu generasi ke generasi lain, umat Islam terus berada dalam ketinggalan dan akhirnya berada di bawah pentadbiran orang bukan Islam.  
 
Keadaan ini sekali gus memberi ruang kepada bukan Islam menghina dan melakukan pelbagai provokasi melampau terhadap umat Islam seperti yang dialami sekarang ini. 
 
Sebab itu, setiap muslim mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi untuk kebaikan diri sendiri, agama dan negara. 
 
Kita menaruh rasa bimbang dengan sikap individu yang tidak mahu berusaha mencari rezeki secara berlipat ganda kerana lama kelamaan ia akan menjadi satu budaya dalam masyarakat yang mana sudah merasa satu ‘kepuasan’ jika telah mampu mengadakan keperluan asas biarpun serba daif.  
 
Sikap inilah yang turut mendorong golongan muda mengamalkan sifat negatif yang sekadar berpuas hati dengan apa yang diwarisi daripada ibu bapa.  
 
Sikap itu mereka lebih berminat lepak, ingin berhibur, berlumba haram dan terlibat gejala sosial mendatangkan masalah sosial biarpun sedar kehidupan keluarga dalam keadaan daif yang memerlukan mereka berusaha gigih membantu keluarga.   
 
Sesungguhnya, amat besar pahala bagi anak-anak yang membantu keluarga dalam soal kewangan dan menyediakan kehidupan yang lebih baik, khususnya kepada kedua ibu bapa yang semakin hilang khudratnya untuk mencari rezeki.  
 
Rasulullah menjelaskan bahawa anak yang soleh melakukan kebaikan untuk ibu bapa dan keluarganya dijanjikan pahala yang besar ketika menemui Allah dengan wajah berseri-seri di akhirat kelak.  
 
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan pernama.” (Hadis riwayat Thabrani) 
 
Jelas sekali betapa beruntung mereka melakukan usaha mencari rezeki di mana dia mendapat keuntungan di dunia dan hebat pula kedudukannya di sisi Allah di akhirat kelak. 
 
Bahkan, tugas mencari rezeki turut dikategorikan sebagai berjihad berjuang ke jalan Allah, membuktikan betapa besarnya pahala mereka yang melakukan tugas itu. 
 
Di negara kita tidak sukar mencari pekerjaan kerana masih banyak sektor yang memerlukan pekerja untuk terus beroperasi.  
 
Belia pencari kerja dinasihatkan jangan terlalu memilih kerja.  Perkara yang paling penting difikirkan ialah mempunyai pekerjaan yang mampu menyara hidup sendiri dan keluarga.  
 
Lakukan apa-apa pun kerja yang memberi pendapatan halal. Alangkah ruginya apabila negara terpaksa mengajikan pekerja asing, sedangkan rakyat sendiri ramai yang masih menganggur. 
 
Ketiadaan sumber pendapatan untuk perbelajaan harian dan keperluan hidup menyebabkan ramai individu melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan peraturan agama seperti mencuri, menjadi pelacur, mengedar dadah dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment