Tuesday 29 November 2016

AKAL PANDU MANUSIA LAKU KEBAIKAN

Akal merupakan anugerah paling besar yang Allah SWT berikan kepada manusia berbanding makhluk lain. Hebat dan mulia kedudukan manusia berdasarkan kepada kewujudan akal. 

Maka, janganlah kita melakukan perbuatan yang nyata menyebabkan kesusahan kepada diri sendiri dan orang lain. Melakukan demostrasi banyak menyebabkan keburukan dalam masyarakat. Perbuatan melakukan demostrasi perlu dijauhi dan dibenci.  

Hendaklah kita menggunakan akal untuk mencipta lebih banyak kebaikan. Inilah yang dilakukan oleh mereka yang berjaya dalam kehidupan.

Penggunaan akal secara murni dan cara berfikir yang benar sentiasa akan membawa kepada penemuan yang memberi manfaat kepada kehidupan manusia. 

Kisah seorang Barat, Isaac Newton (1643-1727), iaitu seorang ahli fizik, matematik, falsafah dan astronomi yang terkenal dengan penemuan formula graviti wajar juga diambil pengajaran. 

Kejayaan Newton adalah hasil penelitian dan berfikir terhadap apa juga kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Setiap perkara yang berlaku pasti ada alasan sebabnya yang menjadi aturan alam. 

Biarpun apa yang berlaku di dunia ini dikaitkan sebagai ‘semulajadi’, namun hakikatnya ia ditentukan oleh Allah SWT setiap apa yang berlaku walaupun sekecil pergerakan jisim-jisim yang tidak kelihatan dengan mata kasar. 

Dengan merenung alam ini juga membawa kepada penghayatan terhadap kasih sayang dan sifat pemurah Allah SWT kepada para hamba-Nya.

Allah SWT  berfirman yang bermaksud: Dan Dialah Allah yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu melihat bahtera belayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur (Surah Al-Nahl 16:14)

Penghayatan berfikir yang baik menemukan kebenaran mutlak yang tidak ragu lagi tentang kekuasaan Allah SWT. Allah SWT menjelaskan tentang hubung kait fikiran yang baik dengan natijah pemikiran yang baik: 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi serta apa yang terkandung di antara kedua-duanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang telah ditetapkan. Sesungguhnya kebanyakan manusia benar-benar tidak ingat akan pertemuan dengan Tuhan mereka (Surah Al-Rum 30:8)

Al-Quran mengkritik golongan yang tidak mahu menggunakan akal atau tidak mahu berfikir dengan fikiran yang baik dan betul. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya makhluk (binatang) yang paling buruk di sisi Allah adalah orang-orang yang pekak (tidak mahu mendengar seruan kebenaran) dan orang-orang yang tuli lagi tidak berakal (tidak mahu berfikir dengan baik)" (Surah Al-Anfaal 8:22)

Bahkan,orang-orang yang kufur setelah disampaikan peringatan terhadap kebenaran ajaran tauhid adalah mereka yang tidak mahu berfikir. Sudah pasti, sikap  tidak mahu berfikir  membawa kepada seribu satu penyelesalan yang tiada nilainya.

Allah SWT menceritakan tentang ahli neraka yang menyesali kekufuran mereka: "Mereka berkata: Jika kami mendengar (ajaran rasul) dan berfikir, nescaya kami tidak akan tergolong bersama ahli neraka." (Surah Al-Mulk 67:10) 

Bersyukurlah dilahirkan sebagai manusia yang sempurna akal. Ada orang yang menghadapi masalah fungsi akal secara 'nasib' yang bukan kehendak mereka. Tetapi ada juga yang merosakkan fungsi akal yang asalnya sempurna dengan melakukan perbuatan yang ditegah seperti pengambilan dadah, arak dan sebagainya.

Manfaatkan fungsi akal dan menghargai setiap penciptaan Allah SWT serta menjadi hamba yang taat kepada perintahNya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang itu, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal (Ulil Albab). Iaitu, mereka yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring lalu mereka memikirkan juga tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Wahai Tuhan kami. Tiadalah Engkau jadikan (semua) ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksaan api neraka” (Surah Ali Imran, ayat 190-191)

Manusia diciptakan oleh Allah SWT untuk beribadah kepada-Nya. Dalam melaksanakan tugas itu, Allah SWT melengkapinya dengan akal agar manusia memahami semua petunjuk dan ciptaan-Nya.

No comments:

Post a Comment