Pengenalan anggota lulus Kursus Asas Komando.
Anggota tentera yang ditempatkan bertugas di kelompok
pasukan Grup Gerak Khas (GGK) atau lebih dikenali sebagai komando akan memakai
tanda pengenalan rejimen atau kor pada baju loreng dengan tulisan
"GERAKHAS", selain memakai beret hijau yang ada lencana "Harimau
Berjuang"
Ada dua kategori mereka yang ditempat di pasukan berkenaan.
Pertamanya, anggota yang tersenarai sebagai kekuatan asal GGK dan keduanya
adalah anggota tumpangan daripada rejimen atau kor lain.
Dahulu, anggota tumpangan akan memakai beret, lencana dan
nama rejimen atau kor masing-masing. Namun, dasar sama rata atau untuk
keseragaman, anggota tumpangan juga memakai seperti anggota asal GGK.
Persoalannya, bagaimana hendak kenal atau tahu anggota
tersebut asal GGK dan paling penting untuk mengetahui mereka sudah lulus Kursus
Asas Komando.
Seperti banyak yang sedia maklum bahawa untuk layak menjadi
anggota GGK mestilah lulus Kursus Asas Komando.
Ada dua pengenalan utama untuk mengenali anggota yang telah
lulus Kursus Asas Komando.
Pertamanya, pegenalan anggota komando yang lulus Kursus Asas
Komando dan mereka yang tidak lulus (sering dirujuk sebagai "komando
sejuk" atau unit sokongan) terletak pada pemakaian beret dan pelapik.
Anggota komando yang lulus Kursus Asas Komando memakai beret
hijau GGK bersama lencana "Harimau Berjuang" dan di belakang lencana
itu ada pelapik pasukan.
Mereka yang tidak lulus Kursus Asas Komando atau tidak
pernah mengikutinya, tetapi ditempatkan bertugas di kelompok GGK seperti di
markas garison, skuadron medik, polis tentera dan sebagainya akan memakai beret
GGK bersama lencana, tetapi tidak ada pelapik.
Pengenalan kedua ialah anggota yang lulus Asas Komando akan
memakain landyard berwarna biru disebelah bahu kanan, termasuk ketika memakai
seragam loreng.
Beret hijau berserta lencana yang ada pelapik pasukan dan
landyard biru akan dipakaikan oleh panglima atau pegawai yang merasmikan majlis
penutup Kursus Asas Komando sebagai satu pengiktirafan dan pengiystiharan
bahawa anggota tersebut telah lulus kursus dan layak untuk menjadi anggota
komando.
Majlis pemakaian beret dan landyard tersebut dilakukan
dengan penuh istiadat mengikut tatacara tradisi yang dilakukan sebagai
menandakan mengalu-alukan kemasukan anggota tersebut ke dalam keluarga besar
komando.
Menariknya, acara tersebut dilakukan di lapangan yang mana
menjadi tempat serangan terakhir dalam latihan tersebut yang turut disaksikan
oleh pegawai merasmikan majlis penutup, pegawai kanan, pegawai, jurulatih, pegawai
tidak tauliah kanan (PTTK), lain-lain pangkat (LLP), veteren komando dan ibu
bapa.
Serangan akhir itu bukan sekadar pertunjukkan, tetapi
menjadi kemuncak kepada latihan. Anggota yang gagal melaksanakan tugasan tersebut
biarpun berada dalam senarai awal sebagai "lulus" boleh bertukar
kepada "gagal".
Malah, ada anggota yang berada dalam barisan untuk dipakaikan
beret dan landyard belum tentu akan dipakaikan, yang menandakan dia gagal.
Sebab itu, semua gambar yang dimuat naik di media sosial akan dikaburkan wajah
mereka untuk tidak dikenali.
Gambar - Kredit Tentera Darat Malaysia.



No comments:
Post a Comment